Wednesday 17 December 2014

Pengantin berusia 15 tahun nafi kahwin untuk tutup aib

Pengantin berusia 15 tahun nafi kahwin kerana nak tutup aib - Sumber Facebook

KUALA LUMPUR: Pengantin remaja, Muhd Muaz Mislan, 15, menafikan perkahwinan pada usia muda itu disebabkan mahu menutup perkara negatif sebaliknya atas dasar keluarga, lapor Harian Metro.

"Asal (apabila) kahwin muda je (saja) mesti orang cakap macam-macam, benda itu Muaz dah sedia awal sebenarnya.

"Perkahwinan Muaz bukan atas dasar sebab bunting ke, dia nak mati ke (atau) apa benda semua la (lain-lain hal) tetapi atas dasar keluarga," katanya dalam entri Facebook miliknya, semalam.

Entri tersebut didapati telah dipadamkan.

Muhd Muaz yang sedang menunggu keputusan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilaporkan memberi komen yang membayangkan untuk tidak meneruskan pelajaran pada tahun depan.

Gambar perkahwinan Muhd Muaz dan pasangannya Nur Izzati Amiera Ishak, 17, menjadi 'viral' dan tersebar secara meluas di laman sosial Facebook kebelakangan ini.

Muhd Muaz dan Nur Izzati dinikahkan pada 30 November lalu dan dilaporkan perkahwinan mereka mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Muhd Muaz menyaksikan pasangan tersebut dinikah dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 oleh jurunikah.

Gambar majlis akad nikah itu turut dimuat naik oleh Nur Izzati yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Difahamkan mengikut fasal 8, Enakmen 17 Undang-undang keluarga Islam Johor menyatakan pengantin lelaki mesti berusia sekurang-kurangnya 18 tahun, manakala perempuan 16 tahun ke atas kecuali mendapat kebenaran bertulis hakim syarie.

Sementara itu, Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Michele Gyless-McDonough berkata lebih 150,000 rakyat Malaysia berkahwin pada usia terlalu muda iaitu bawah 19 tahun.

Katanya, ini mengorbankan peluang mereka untuk mendapat pendidikan serta menjadi sebahagian daripada kumpulan tenaga kerja produktif di sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Berkahwin awal menafikan hak asasi anak muda untuk mencapai potensi mereka dan oleh itu pilihan lebih baik perlu diwujudkan untuk belia Malaysia,” kata wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) itu.

"Laporan Kemajuan Negara UNGASS 2010 menunjukkan bahawa pada 2009, 477 remaja perempuan berusia bawah 19 tahun mengandung dan mendapatkan perkhidmatan di klinik ibu dan kanak-kanak Kementerian Kesihatan di seluruh negara," katanya lagi.

Pada November 2012, Nor Fazira Saadyang berusia 12 tahun, dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi Alias yang ketika itu berusia 20 tahun.

Namun, kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan mereka, pasangan muda itu disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment