Wednesday 17 December 2014

Bekas ahli perniagaan dihukum gantung kerana bunuh isteri dan dua anak

Hakim turut membenarkan permintaannya untuk melawat kubur isteri dan kedua-dua anaknya di Tanah Perkuburan Cina Sungai Aup atas dasar kemanusiaan, tetapi di bawah "pengawasan dan pengiring yang ketat daripada pihak berkuasa Penjara". - Foto Fail

SIBU: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas ahli perniagaan Jacob Tiang Lee Yee, 44, kerana membunuh isteri dan dua anak di rumah kediaman Pulau Li Hua, di sini, pada 5 Julai 2013 antara jam 6.20 pagi sehingga 9.50 pagi.

Hakim Supang Lian pada 18 November yang lalu, tahun ini memutuskan Tiang bersalah kerana membunuh isterinya Ling Yung Ming, 40, anak perempuan Christine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelaki Victor Tiang Soon Sheng, dua tahun dan disabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim juga memutuskan Tiang bersalah dalam cubaan membunuh seorang lagi anak lelaki, Vincent Tiang Soon Thai, 17 di tempat dan masa yang sama, suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Untuk kesalahan cubaan membunuh, hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun.

Dalam perbicaraan tersebut, Supang berkata kes tersebut adalah satu “tragedi yang tidak adil”.

"Ia merupakan satu kisah di mana seorang lelaki mempunyai hutang yang banyak jatuh ke tangan pemiutang yang kejam dan akhirnya, didorong untuk membuat keputusan yang benar-benar jahat dengan membunuh seluruh ahli keluarganya.

"Isteri beliau Yung Ming tidak terkecuali dan anak perempuannya Christine dan bayi, Victor juga tidak berjaya diselamatkan.

“Anak lelakinya Vincent berani berjuang untuk hidupnya dan kita bersyukur kerana beliau berjaya melarikan diri dari rumah dan bapanya.

“Dalam minda saya, tiada apa yang lebih tragik dan menyakitkan hati untuk seorang anak lelaki 17 tahun menyedari hakikat yang beliau hampir menemui ajal di tangan bapanya sendiri.

“Tiada apa yang dapat dinafikan bahawa kejadian ini akan melukakan hatinya dengan mendalam dan memori ini akan tersimpan dalam ingatannya untuk sepanjang hidupnya," kata hakim itu.

Terdahulu, sebelum Supang menjatuhkan hukuman beliau, Vincent yang hadir di perkarangan mahkamah, enggan memberi kenyataan terhadap bapanya apabila didatangi oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azrul Faidz.

Tiang, yang berpakaian baju berwarna merah jambu cair berlengan pendek dan berseluar jeans, tenang apabila hukuman dijatuhkan ke atasnya, dan dijelaskan oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim turut membenarkan permintaannya untuk melawat kubur isteri dan kedua-dua anaknya di Tanah Perkuburan Cina Sungai Aup atas dasar kemanusiaan, tetapi di bawah "pengawasan dan pengiring yang ketat daripada pihak berkuasa Penjara".

Apabila ditanya Hakim Supang mengapa beliau mahu berbuat demikian, Tiang membalas beliau hanya mahu melihat kubur ahli keluarganya.

Beliau berkata sekiranya mahkamah tidak membenarkannya, beliau berharap gambar-gambar kubur ahli keluarganya dapat diambil untuk dijadikan ratapannya.

Beliau diwakili oleh peguam yang ditugaskan, Ben Lau.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment