Wednesday 17 December 2014

Dungun daerah terbaharu dilanda banjir

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di tiga negeri pada tengah hari ini menyaksikan Dungun menjadi daerah terbaharu terjejas banjir di Terengganu, manakala mangsa banjir di Kelantan menunjukkan peningkatan berbanding pagi tadi dan tiada peningkatan mangsa banjir di Pahang.

Di KUALA TERENGGANU, Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri, Roslina Ngah berkata hujan lebat melebihi 60 milimeter di daerah Dungun malam tadi, menyebabkan kawasan itu dilanda banjir.

Beliau berkata, tiga pusat pemindahan di Dungun dibuka melibatkan 311 mangsa daripada 92 keluarga.

"Jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan sebanyak 805 mangsa sehingga jam 12 tengah hari ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, di Kemaman, dua pusat pemindahan iaitu Balai Raya Padang Kubu serta Rumah Pegawai Padang Kubu yang ditutup pada 11 pagi semalam, dibuka semula hari ini.

"Satu lagi pusat pemindahan baharu dibuka di Kemaman, iaitu Rumah Pegawai Sungai Mas bagi menempatkan 11 mangsa daripada empat keluarga yang terjejas banjir apabila air sungai di kawasan kediaman mereka, mula melimpah," katanya.

Roslina berkata sehingga kini 16 pusat pemindahan di empat daerah masih dibuka iaitu iaitu Kemaman 10, Dungun (tiga), Marang (dua) serta Kuala Terengganu (satu).

Di KOTA BAHARU, menurut portal banjir kerajaan negeri, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 898 orang pada tengah hari ini berbanding 526 orang pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 19 pusat pemindahan yang dibuka melibatkan empat jajahan iaitu Jeli, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Di jajahan Jeli 605 mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1, SK Legeh, SMK Batu Melintang, SK Kalai, SK Kuala Balah, Masjid Gemang, Dewan Kesedar dan PASTI Bukit Lakota, serta Pasti Kampung Sungai Satan dan Tadika Gemang.

Di jajahan Tanah Merah 188 mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan iaitu di Madrasah Kampung Renat, Madrasah Kampung Rahmat, Dewan Desa Taqwa, SK Kulim, Madrasah Kampung Kulim, Madrasah Bendang Besar, Madrasah Kampung Banggol Yek dan Balai Raya Kampung Padang Kijang.

Sementara itu di jajahan Pasir Puteh, jumlah mangsa banjir di SK Wakaf Raja adalah 22 orang manakala di jajahan Pasir Mas 84 orang yang ditempatkan di Madrasah Haji Daud.

Setakat jam 12 tengah hari ini, paras air di dua sungai telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Jenob di Tanah Merah merekodkan bacaan 24.88 meter (bahaya 23.50) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang 9.02 meter (bahaya 9 meter).

Dua laluan ditutup iaitu di KM12 Jalan Chiku-Aring, Gua Musang untuk semua kenderaan manakala laluan KM31 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu di Pasir Puteh ditutup hanya kepada kenderaan ringan.

Keadaan cuaca adalah mendung dan sesekali hujan lebat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment