Saturday 6 December 2014

Keluarga haru biru


BAYANGKAN anda melalui hidup yang cukup teratur, namun pada satu pagi ia berubah menjadi nasib malang dan lebih terus seluruh keluarga anda terkena nasib malang itu.

Begitulah yang dilalui Alexander dan keluarganya, di mana kehidupan mereka pada suatu pagi berubah menjadi haru-biru.

Semuanya bermula setelah Alexander bangun daripada tidur, semua benda yang dilakukan tidak menjadi.

Semasa dia bangun, gula-gula getah yang dikunyah semalam telah melekat ke rambutnya. Turun dari katil, dia terjatuh di atas papan luncur dan baju sejuknya telah terjatuh ke dalam singki yang dipenuhi air.

Semua aksi Alexander dan keluarganya dapat anda tonton dalam filem Alexander And The Terrible, Horrible, No Good, Very Bad Day.

Filem yang diterajui oleh Ed Oxenbould ini turut dibintangi oleh Steve Carell, Jennifer Garner dan ramai lagi.

Menariknya mengenai filem ini adalah perjalanan hidup Alexander dan keluarganya. Alexander memang sejak dari awal lagi jarang bernasib baik dalam melalui harinya.

Entah bagaimana nasib malangnya itu berjangkit kepada seluruh keluarga dan menyebabkan keluarganya menjadi haru-biru.

Namun biarpun bernasib malang, mereka tetap menyayangi dan mengambil berat antara satu sama lain meskipun satu persatu perkara buruk terjadi.

Pecah perut

Lebih melucukan segala kejadian yang berlaku sememangnya tidak disangka dan reaksi mereka sekeluarga akan membuatkan penonton ketawa pecah perut.

Bayangkan dalam rasa keseronokan yang teramat dan tiba-tiba kita terpecahkan sesuatu tanpa disengajakan, pada yang melakukan ia mungkin merasakan harinya berubah menjadi malang, tapi pada yang melihat, ia mungkin akan menjadi perkara yang melucukan.

Namun di sebalik komedi yang diselitkan, sebenarnya, banyak pengajaran yang diterapkan di dalam filem ini.

Ia menunjukkan bagaimana untuk kita sentiasa berhati-hati dalam apa yang kita lakukan dan fokus. Selain itu betapa penting untuk kita mengamalkan rasa hormat menghormati sesama ahli keluarga, terutama di kalangan adik-beradik.

Lakonan bersahaja

Selain itu, apa yang menarik perhatian penulis di dalam filem ini adalah lakonan bersahaja ke semua pelakon.

Tentunya kelibat pelakon paling cilik, si kembar Elise dan Zoey Vargas sebagai Trevor Cooper, paling mencuri tumpuan penulis.

Wajah comel itu tampak pandai berlakon dan menarik perhatian dengan aksinya yang begitu bersahaja.

Pelakon lain juga termasuk Garner dan Carell juga tampil dengan lakonan bersahaja bersama Oxenbould dan lain-lain.

Justeru bagi anda yang mahu melihat aksi komedi malang seluruh keluarga ini, jangan lupa untuk menyaksikan filem Alexander And The Terrible, Horrible, No Good, Very Bad Day di pawagam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment