Monday 8 December 2014

Gara-gara hadiah telefon pintar

  • Selvaratnam menunjukkan gambar isterinya yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu.
  • Selvaratnam menunjukkan gambar isterinya yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu.

MANJUNG - Seorang suami tidak menyangka hadiah telefon bimbit pintar yang diberikan kepada isterinya telah disalahgunakan.

S Selvaratnam, 36, menghadiahkan sebuah telefon bimbit pintar kepada isterinya, M Ritha, 34, enam bulan lalu apabila didesak oleh isterinya.

Menurutnya, telefon pintar itu digunakan untuk bersembang di laman sosial Facebook.

“Gara-gara bersembang di Facebook isteri saya terpedaya dengan kata-kata manis seorang lelaki sehingga sanggup meninggalkan saya dan dua anak.

“Telefon itu saya berikan untuk kemudahannya dan tidak menyangka disalahgunakan,” katanya yang tinggal di Taman Krishnan, Sitiawan di sini.

Selvaratnam berkata, sejak mempunyai telefon berkenaan, isterinya tidak pernah lekang dengan gajet itu walaupun ke tandas.

Jelasnya, perbuatan isterinya berhubung dengan lelaki lain disedari apabila melihat perbualan mereka menerusi akaun Ritha.

“Saya bertindak menyiasat perkara itu dan mendapati isteri ada menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki dari Singapura.

“Mereka kini dipercayai berada di Johor dan saya sangat kesal kerana dia sanggup meninggalkan anak, S Vaishanavi, 11 dan S Yuvanraj, 8,” katanya.

Selvaratnam berharap isterinya pulang semula ke pangkuan keluarga kerana anak-anak begitu merindui Ritha.

Katanya, sehingga sekarang dia tidak tahu mahu mencari Ritha di mana dan berharap orang awam yang mengetahui keberadaan isterinya dapat menghubungi Selvaratnam dengan segera.

“Saya juga mahu masyarakat menjadikan kisah saya ini sebagai pedoman agar tidak membiarkan anak-anak atau isteri terlalu bebas melayari internet sehingga menimbulkan kesan negatif seperti ini,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment