Tuesday 16 December 2014

Cabaran suara 'muda' gegar Vaganza platform tepat


MINGGU kelima konsert Gegar Vaganza menyaksikan penyingkiran penyanyi yang popular dengan lagu pop keroncong, Fadzillah Idris atau Adilla.

Bertemakan ‘Impian dan Dedikasi’, Adilla menyanyikan lagu dendangan Frankie Valli berjudul Can’t Take My Eyes Off You.

“Lagu ini saya tujukan khas buat semua anak murid senamrobik saya,” kata pemilik pusat kecergasan Adilla Fitness Studio ini.

Ketika ditanya apakah faktor yang menyebabkan dia tersingkir dalam program realiti berkenaan, Adilla memberitahu: "Memasuki minggu kelima pertandingan, sudah pasti juri mahukan sesuatu yang lebih menarik.

“Semua peserta biasanya menggunakan suara ‘lepas’ tetapi cara nyanyian saya lebih kepada genre tradisional yang lebih bercirikan kepada soprano.

“Mungkin persembahan saya pada malam itu kurang menyerlah apatah lagi saya tidak menepati kehendak juri dalam 'memudakan' suara saya.

“Jika saya nak ‘mudakan' suara saya memang tak boleh apatah lagi saya pun sudah berusia 40-an,” katanya sambil tergelak.

Tambah pelantun lagu Maulang Sayang ini, dia menyifatkan Gegar Vaganza sebagai platform paling tepat dalam membantu memperkenalkan namanya semula di mata peminat setelah sekian lama menyepi daripada mengeluarkan album baharu.

“Selain menjadi jurulatih kecergasan, saya juga masih aktif dengan aktiviti nyanyian terutama di majlis-majlis makan malam dan korporat, cuma tiada publisiti saja.

“Alhamdulillah, sejak saya menyertai Gegar Vaganza, pelbagai maklum balas positif yang saya terima daripada peminat di luar sana,” katanya.

Menurut Adilla, sepanjang menyepi dalam dunia seni, dia sudah pun mempunyai beberapa single yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

“Saya ada menyiapkan beberapa lagu tetapi kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

“Saya juga berhasrat untuk mengeluarkan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu popular selain ditambah dengan beberapa lagu baharu tidak lama lagi,” katanya.

Malam itu turut memperlihatkan kehebatan peserta lain iaitu Rahmat Mega yang menyanyikan lagunya sendiri, Bayangan Gurauan, Mamat Exist (Kau Ilhamku), Sharifah Zarina (Penasaran), Shima (Sepanjang Malam Keresahan), Haleeda (Aku Cinta Kau & Dia), Fazli Zainal (Relakan Jiwa), Ifa Raziah (Sangkar Cinta) dan Ayai Illusi (Lagu Jiwa Lagu Cinta).

Selepas Adilla tersingkir, kini tinggal lapan lagi peserta yang akan bersaing untuk merebut gelaran juara.

Siapa peserta yang bakal mengikut jejak Adilla? Saksikan Gegar Vaganza setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

- Source: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment