Wednesday 19 November 2014

Volkswagen Malaysia rancang eksport Jetta dan Polo Sedan

VOLKSWAGEN Group Malaysia Sdn Bhd merancang mengeksport Jetta dan Polo Sedan yang dipasang dalam negara, ke negara Asean menjelang tahun depan.

Pengarah Urusannya Armin Keller berkata kumpulan itu sedang berunding dengan rakannya DRB-Hicom Bhd, dan Kerajaan Malaysia.

"Kami sudah mencapai sasaran kandungan tempatan sebanyak 40 peratus yang diperlukan untuk kami mengeksport model-model yang ada, dan berharap dapat memulakannya tahun depan," katanya kepada pemberita di Seberang Perai.

Beliau berkata kumpulan itu mengenal pasti negara Asean sebagai sasaran eksport susulan permintaan yang tinggi.

"Kini empat model Volkswagen, Passat, Jetta, Polo dan Polo Sedan, dipasang di Malaysia.

Keller berkata kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang memulakan pengeluaran kereta-kereta Volkswagen sejak 2012, dengan model pertama Volkswagen Passat.

Beliau berkata kilang itu mampu mengeluarkan kira-kira 7,000 hingga 8,000 unit pelbagai model Volkswagen tahun ini.

"Secara teknikalnya kami sudah bersedia dan kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum meneruskan rancangan kami," katanya.

Volkswagen group, anak syarikat Volkswagen AG, ditubuhkan di Malaysia pada 2006. Ia kini menawarkan lebih 20 model Volkswagen. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment