Wednesday 19 November 2014

Malaysia di kedudukan ke-48 dalam Indeks Keganasan Global (GTI) 2014

Iraq menduduki carta teratas indeks tersebut dengan 10 mata dan diikuti Afghanistan, Pakistan, Nigeria, Syria, India, Somalia, Yemen, Filipina dan Thailand. - Foto fail

Malaysia telah melonjak 41 tangga ke kedudukan ke-48 dalam Indeks Keganasan Global (GTI) 2014. Pada kali pertama senarai itu diperkenalkan pada tahun 2012, Malaysia berada di tangga ke-91.

Berdasarkan maklumat penanda aras kajian yang melibatkan 162 buah negara tersebut, sebanyak 13 insiden keganasan telah berlaku di Malaysia, dengan dua kes kematian, satu kecederaan serta tujuh harta benda awam yang musnah.

Negara bergolak, Iraq, menduduki carta teratas indeks tersebut dengan 10 mata dan diikuti Afghanistan, Pakistan, Nigeria, Syria, India, Somalia, Yemen, Filipina serta Thailand.

Syria memasuki senarai lima teratas berbanding kedudukan ke-14 pada tahun 2012 berikutan perkembangan yang berlaku sekarang ini di negara tersebut.

United Kingdom menduduki tangga ke-27 dengan 5.17 mata, manakala Amerika Syarikat (AS) di tangga ke-30 dengan 4.71 mata. Indonesia menyusul selepas AS dengan 4.67 mata.

Di Asia Tenggara, hanya Singapura dan Vietnam yang tidak berada dalam senarai GTI. Kedua-dua negara tersebut menyertai kelompok 39 buah negara yang langsung bebas daripada aktiviti keganasan.

Indeks Keganasan Global (GTI) merupakan penarafan (ranking) automatik bagi negara-negara dunia berdasarkan aktiviti pengganas. Ia menggabungkan beberapa faktor yang mempunyai kaitan dengan serangan pengganas seterusnya memberi gambaran tentang impak dan trend keganasan dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu, indeks tersebut juga membekalkan siri data bagi membantu analisis para penyelidik dan penggubal polisi.

GTI merupakan hasil kajian Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) berdasarkan data daripada Pangkalan Data Keganasan Global (GTD). Data tersebut dikumpulkan oleh pihak Konsortium Kebangsaan bagi Kajian Keganasan dan Respons Terhadap Keganasan (START) di Universiti Maryland, AS.

Menurut laporan IEP, secara keseluruhan terdapat lebih 48,000 insiden keganasan global sepanjang 14 tahun lalu dan telah mengorbankan 107,000 nyawa.
- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment