Wednesday 19 November 2014

Bina rumah burung hantu atasi tikus

Penolong Pegawai Pertanian Hilir Perak Mohd Syahril Abdul Rasjid menyerahkan rumah burung hantu kepada Abdul Halim Abdul Rashid (kanan).

SUNGAI MANIK- Jabatan Pertanian Daerah Hilir Perak mengambil inisiatif membina rumah burung hantu bagi mengawal serangan tikus di sawah padi.

Pegawai Pertanian Daerah Hillir Perak, Nor Zaidi Abdul Rahman berkata, inisiatif itu dimulakan dengan pembinaan 20 unit rumah burung hantu di empat kampung membabitkan Permatang, Parit 7; Sungai Kerawai; Sungai Manik Kiri Lama dan Parit 10B di sawah padi berkeluasan 202 hektar.

Menurutnya, pemasangan tiang dan rumah burung hantu di kawasan lain seperti Mukim Sungai Manik dan Labu Kubong akan dilakukan berperingkat.

“Ini antara usaha meningkatkan hasil dan kualiti padi di samping mengurangkan kerosakan disebabkan serangan tikus.

“Mengikut kajian, seekor burung hantu mampu membunuh antara enam hingga 10 ekor tikus dalam tempoh 12 jam dan haiwan itu aktif mencari mangsa pada waktu malam,” katanya ketika menyerahkan peralatan kepada petani di Kampung Permatang, Parit 7, di sini.

Nor Zaidi berkata, menerusi kaedah ini petani tidak perlu menggunakan racun tikus sekali gus dapat menjimatkan kos.

“Dengan pemasangan rumah burung hantu ini, kita berharap ia akan memberi suntikan semangat kepada petani mengendalikan sawah dengan lebih proaktif,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment