Saturday 8 November 2014

Tindakan Anwar akibat pengalaman lampau

Gopal Sri Ram
Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA - Peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Gopal Sri Ram, dalam hujah penutupnya bagi rayuan terakhir pemimpin pembangkang terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun, memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa penasihat PKR itu tidak patut dipersalahkan kerana memilih memberikan kenyataan dari kandang tertuduh berhubung konspirasi untuk menamatkan karier politiknya.

Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, Anwar memilih untuk melakukan ini kerana pengalaman masa lalu di mana mahkamah rendah mensabitkan beliau atas tuduhan yang sama (kerana meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar) tetapi kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1.

Beliau juga memberitahu panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bahawa dalam kes semasa yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari, pengadu adalah seorang lelaki yang mempunyai motif dan saksi yang tiada nilai. 

"Hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) itu terkhilaf apabila memberikan banyak tumpuan kepada pembuktian apabila kredibiliti Mohd Saiful Bukhari diragui," beliau memberitahu panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada hari kelapan prosiding rayuan.

Sri Ram juga menyebut beberapa kes undang-undang yang menyatakan apabila kredibiliti itu kurang, maka pembuktian tidak lagi relevan.

Beliau berkata, pada peringkat pembelaan, hakim perbicaraan telah memutuskan bahawa ia bukan 100 peratus selamat untuk mensabitkan Anwar memandangkan keterangan saksi utama (Mohd Saiful Bukhari) tidak menyokong bukti DNA yang merupakan titik penting kes pendakwaan.

Sebelum itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa gambar Mohd Saiful Bukhari menghidangkan teh di rumah Anwar sehari selepas kejadian yang didakwa itu perlu diterima sebagai eksibit memandangkan orang yang di dalam gambar itu mengakui bahawa dia ada di sana, tanpa memanggil siapa yang membancuhnya. 

Beliau berkata, foto itu adalah relevan untuk menunjukkan perilaku Mohd Saiful Bukhari, yang mana pihak pembelaan berhujah kelihatan normal dan gembira, tetapi ia tidak ditandakan sebagai eksibit semasa perbicaraan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment