Saturday 8 November 2014

Isma: Rayu kes lelaki dibenar berpakaian wanita

Muhammad Luthfi Abdul Khalid
Muhammad Luthfi Abdul Khalid

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) hari ini diminta segera memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tiga lelaki Islam berpakaian seperti wanita.

Pengerusi Gabungan Peguam-peguam Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Luthfi Abdul Khalid berkata, rayuan itu penting kerana ia melibatkan kewibawaan Mains sebagai pemelihara kepentingan umat Islam.

"Jika tiada rayuan dibuat, keputusan itu (Mahkamah Rayuan) akan menjadi satu duluan (keputusan yang mengikat) terhadap mana-mana isu serupa yang mungkin timbul pada masa akan datang.

"Keputusan itu juga akan menjadi rujukan bagi negeri-negeri lain dan juga di Wilayah Persekutuan sendiri sekiranya kes yang serupa berulang, kerana pihak berkuasa agama Islam negeri tiada pilihan melainkan terikat dengan keputusan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, hari ini mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Muhammad Luthfi berkata, rayuan Mains juga penting untuk menjunjung ketegasan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi membendung aktiviti yang cenderung kepada amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan masyarakat Islam.

"Oleh kerana kes ini melibatkan isu perlembagaan, rayuan ini sangat penting sebagai satu ikhtiar tertinggi dan pemutus terhadap bidang penguatkuasaan enakmen agama Islam negeri, sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Seksyen 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964," katanya.

Menurutnya, umat Islam di negara ini sewajarnya melahirkan kebimbangan dan keprihatinan mereka terhadap sebarang usaha untuk mempertikaikan kewibawaan institusi agama Islam negeri. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment