Saturday 8 November 2014

Pengembaraan angkasa lepas


JIKA anda pernah menonton filem Gravity dan merasa tidak puas dengan penerokaan angkasa yang dipaparkan dalam filem tersebut, maka anda wajib menonton filem terbaru Christopher Nolan ini.

Filem Interstellar membawa penonton melayari kisah kehidupan bumi pada masa akan datang yang terpaksa berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan ekoran faktor cuaca bumi yang semakin tidak menentu.

Cooper (Matthew McConaughey) yang merupakan seorang bekas juruterbang yang pernah bekerja dengan Nasa sebelum ini, kini hanya mengusahakan ladangnya untuk makanan walaupun cuaca dan ribut tidak menentu.

Cooper sering melakukan yang terbaik untuk memastikan tanaman dan keluarganya selamat agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Anak Cooper, Murph (Mackenzie Foy) sering memaklumkan kepada Cooper bahawa biliknya berhantu kerana buku-buku di rak biliknya sering jatuh berselerakan tanpa diketahui siapa yang melakukannya.

Sehingga pada suatu hari, ribut pasir melanda dan 'hantu' di dalam bilik Murph sekali lagi meninggalkan satu tanda yang memberi koordinat kepada Murph dan Cooper.

Koordinat itu merupakan satu lokasi rahsia Nasa yang ketika itu dalam misi menghantar beberapa saintis ke angkasa untuk mencari penempatan baru buat manusia.

Setelah dipujuk oleh Profesor Brand (Michael Caine) yang mengetuai penyelidikan itu, Cooper akhirnya meninggalkan bumi dengan sekumpulan kecil saintis termasuklah Dr Amelia Brand lakonan Anne Hathaway untuk mencari planet baharu untuk didiami oleh manusia sejagat.

Cooper turut meninggalkan anak perempuannya Murph yang tidak bersetuju dengan keputusan bapanya itu setelah dapat memecahkan teka-teki, mengapa buku tersebut berselerakan.

Lakonan mantap

Meletakkan pelakon-pelakon hebat di dalam senarai teraju utamanya seperti McConaughey dan Hathaway, membuatkan anda dapat mengikuti perjalanan cerita ini dengan baik.

Bukan itu sahaja, ditambah pula dengan pelakon-pelakon sampingan lain yang tidak kurang hebatnya, termasuk kemunculan Matt Damon, sebagai Dr Mann walaupun untuk beberapa minit sahaja, tetap meninggalkan kesan kepada penonton.

Selain pelakon hebat, kehadiran dua robot, TARS yang menggunakan suara Bill Irwin dan Case yang menggunakan suara Josh Stewart turut berjaya menggeletek hati penonton.

Masakan tidak, jika selama ini kita sering disogokkan dengan robot yang lurus dan mengikut perintah, kali ini Nolan menyelitkan robot bijak yang turut mempunyai sisi humor tersendiri sehingga membuatkan penonton ketawa dengannya.

Plot saintis

Bagaimanapun jika bercakap mengenai plot, apa yang penulis boleh katakan, lain orang, lain pendapatnya.

Bagi pendapat penulis, perjalanan cerita ini penuh dengan rasa keterujaan dan melibatkan hubungan kekeluargaan yang rapat di antara bapa dan anak, yang membesarkan anaknya sendirian tanpa isteri.

Termasuklah ekspedisi mereka ke angkasa yang penuh dengan keterujaan di tambah lagi dengan bantuan CGI yang menghidupkan lagi suasana angkasa di dalam filem ini.

Namun dengan sedikit twist di dalam filem ini membuatkan penulis sedikit blur dengan perjalanan cerita dan cuba mengaitkan dengan logik akal apatah lagi perjalanan cerita dari mula nampak logik.

Bagaimanapun seperti penulis katakan tadi, mungkin lain orang yang menonton, lain pendapatnya mengenai filem ini.

Mungkin kerana sains fiksyennya terlalu tinggi membuatkan penulis tidak dapat memahami jalan cerita ini dengan baik.

Apa pun bagi anda yang ingin merasai sendiri pengembaraan dan ingin mengetahui mengapa Murph tidak mengizinkan bapanya untuk pergi? Serta apakah yang membuatkan buku-buku dalam bilik Murph berselerakan

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment