Thursday 20 November 2014

Ratu Cantik Honduras ditembak ketika cuba larikan diri

Ratu Cantik Honduras ditembak ketika cuba melarikan diri daripada teman lelaki kakaknya - Gambar fail

SANTA BARBARA: Ratu Cantik Honduras ditembak ketika cuba melarikan diri dari teman lelaki kakaknya, lapor pihak polis pada Rabu, selepas beberapa jam kedua beradik itu dijumpai mati di tepi sungai.

Maria Jose Alvarado, 19, dijadualkan akan ke London untuk pertandingan Ratu Cantik Dunia, hilang bersama kakaknya Sofia Trinidad enam hari lalu selepas menghadiri sebuah parti.

Akhbar La Prensa melaporkan polis sedang menyiasat sama ada teman lelaki Trinidad, Plutarco Ruiz, menembak Trinidad di kepala kerana cemburu melihatnya menari bersama lelaki yang lain.

Beliau dilaporkan menembak Alvarado sebanyak dua kali dari belakang ketika Alvarado cuba melarikan diri.

Ketua detektif Leandro Osorio berkata mayat ratu cantik dan kakaknya yang berusia 22 tahun itu dijumpai ditanam berdekatan dengan Sungai Aguagual di bandar Arada, utara Honduras.

"Kami yakin 100 peratus, mayat itu adalah mereka," kata Osorio.

Polis menahan Ruiz dan rakan subahatnya pada Selasa, merampas pistol Colt-45 dan dua kenderaan.

Menteri Keselamatan Arturo Corrales berkata "tiada keraguan" Ruiz merupakan dalang dalam pembunuhan ini dan dia dibantu lelaki lain, Aris Maldonado Mejia.

Polis kini sedang menyiasat suspek tambahan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan yang membantu untuk membersihkan tempat kejadian.

Penganjur Ratu Cantik dunia yang berlangsung pada Sabtu meluahkan rasa takziah kepada keluarga mangsa dan mengumumkan mereka akan mengadakan tribut untuk mereka pada minggu ini.

Alvarado merupakan pelajar tahun akhir sains komputer Northern Polytechnic Institute dan menyertai pertandingan ratu cantik sejak kecil lagi.

Mangsa dan kakaknya hilang selepas dilihat kali terakhir di sebuah majlis hari jadi di utara bandar Santa Barbara.

Penduduk Santa Barbara mengadakan demonstrasi dengan memakai baju T-shirt putih yang mempunyai gambar kedua beradik itu dan berarak dengan sebuah panji yang tertulis "May God protect them."

Honduras disenaraikan antara negara yang mencatatkan kadar jenayah paling tinggi di dunia.

Dianggarkan, dalam 100,000 orang, 90 hingga 95 orang daripadanya mati dibunuh sama ada oleh samseng atau berkaitan jenayah dadah.  - AFP 

No comments:

Post a Comment