Thursday 20 November 2014

Dua beradik ‘minum air gula’ ceria

Senyuman ceria yang terukir mengambarkan keadaan mereka yang sihat dan selamat.
Senyuman ceria yang terukir mengambarkan keadaan mereka yang sihat dan selamat.

KOTA BHARU - Keadaan dua beradik yang kisahnya dipaparkan kerana hanya diberi minum air kosong bercampur gula oleh ibu mereka kini kelihatan lebih ceria dan sihat berbanding sebelumnya.

Kanak-kanak berusia lima dan tiga tahun terbabit kelihatan tersenyum girang ketika berada di dalam kenderaan jenis pacuan empat roda milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di perkarangan Mahkamah Kota Bharu, di sini, semalam.

Tiada lagi bau tidak menyenangkan daripada mereka seperti mana sebelum ini dan si kakak berubah lebih kemas dalam pakaian berkebaya labuh serta berseluar panjang. Begitu juga juga adik yang kelihatan selesa dengan memakai baju t-shirt merah jambu.

Pada pagi itu, pihak JKM yang diwakili oleh Pegawai Pelindung Kanak-kanak daerah, Noor Azlin Che Kamaruddin hadir ke mahkamah majistret untuk mendapatkan Perintah Jagaan Sementara bagi dua kanak-kanak berkenaan.

Majistret, Nik Habri Muhamad yang menandatangani perintah itu membenarkan dua beradik perempuan tersebut ditempatkan ke Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor, Pahang untuk tempoh selama dua bulan.

Pengarah JKM negeri, Nik Omar Ab Rahman berkata, Rumah Kanak-kanak di Penor dipilih menjadi penempatan sementara bagi mereka berikutan jumlah kanak-kanak yang sudah penuh di Rumah Mini, di sini.

“Kapasiti penempatan sementara di sini hanya mampu menampung seramai 30 orang dan kuota itu sudah penuh, berbanding di Penor yang dapat menampung lebih daripada 100 kanak-kanak.

“Mereka akan berasa lebih selesa dan selamat di sana nanti. Keperluan asas seperti makanan, pakaian dan kesihatan dua beradik tersebut akan terjaga dengan lebih baik,” katanya yang turut memberitahu pegawai JKM dan dua beradik tersebut bertolak ke Pahang daripada mahkamah pada jam 11.40 pagi.

Menurutnya, dalam tempoh itu, pihak JKM akan membuat penelitian secara terperinci sama ada terdapat pihak yang layak, sesuai atau tidak untuk menjaga kanak-kanak terbabit.

“Memandangkan saudara-mara yang lain tidak dapat menjaga mereka, maka JKM akan buka permohonan untuk mendapatkan keluarga angkat bagi kanak-kanak ini. 

“Kalau ada, pihak JKM akan serahkan kepada pihak yang layak tersebut dan jika sebaliknya untuk tempoh selepas dua bulan, JKM akan dapatkan Perintah Tetap untuk mereka menghuni di rumah kanak-kanak terbabit sehingga dewasa,” katanya.

Sinar Harian pada 5 November lalu menyiarkan kisah adik-beradik itu yang diberi minum air kosong dicampurkan dengan gula oleh ibu mereka akibat kesempitan hidup.

Seminggu selepas itu, wanita terbabit, Nor Azlina Razid, 35, ditahan, sementara anak-anaknya diselamatkan JKM. Nor Azlina mengaku salah atas tuduhan memiliki dadah di mahkamah majistret, di sini. Hukuman terhadapnya akan diketahui 31 Disember depan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment