Sunday 16 November 2014

Pergolakan tiga ratu


TIKA diamati dan diteliti, tidak dinafikan agak jarang industri hiburan kita menonjolkan kisahkisah menarik yang melibatkan watak srikandi dalam memperjuangkan hak kewanitaan untuk tontonan umum.

Sehinggalah tercetusnya idea pementasan Takhta 3 Ratu yang pastinya menjadi satu hiburan yang tidak seharusnya dilepaskan.

Gabungan tiga aktres hebat seperti Erra Fazira, Izreen Azminda dan Soo Wincci membawakan watak tiga ratu yang sudah tentunya menjadi tarikan utama memandangkan bakat lakonan mereka yang bukanlah calang-calang.

Berkongsi lebih lanjut mengenai projek itu, Erra yang terlibat dalam produksi teater tersebut percaya ia akan menjadi sebuah hiburan yang berbaloi untuk ditonton.

“Ini kali pertama saya bergabung dengan Erma Fatima dan Awie untuk hasilkan sebuah teater. Memang sebelum ini, karya itu telah dipersembahkan dalam bentuk drama, tapi kali ini kita gunakan pendekatan lain untuk dipentaskan.

“Fokus utama diberikan pada penceritaan mengenai tiga ratu iaitu Tun Teja, Raden Galuh Chenderai dan Hang Li Po. Tapi jalan cerita yang sama cuma dari sudut yang berbeza bersesuaian dengan pementasan teater,” jelasnya.

Biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, Erra memberitahu kekuatan cerita dan kehebatan barisan pelakon yang ada bakal menjadi tarikan utama teater ini mendapat sambutan yang baik.

“Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko di mana ia juga akan dipentaskan pada hujung tahun, tapi saya yakin dengan kekuatan yang kita ada pementasan ini akan menjadi sesuatu yang berbaloi.

“Memandangkan kami bertiga punya keyakinan terhadap jalan cerita kuat dan barisan pelakon yang ada, kami sebulat suara bersetuju untuk ambil risiko meneruskan teater ini biarpun dalam masa yang singkat,” katanya.

Takhta 3 Ratu yang bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember di Istana Budaya ini merupakan projek teater yang menggabungkan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erra Fazira Entertainment dan Awie Entertainment.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 bolehdibeli di kaunter Istana Budaya atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

Berkongsi pentas

Berperanan sebagai Tun Teja, Erra akui gembira kerana hasratnya yang sekian lama mengidamkan watak srikandi akhirnya tercapai.

“Sejak dahulu lagi, saya cemburu melihat pelakon lain diberi watak seumpamanya tambahan pula watak ini memang terhad.

“Jadi bila diberi peluang, saya tidak mahu mensia-siakannya walaupun cabarannya agak sukar.

“Bukan sahaja berlakon dan menyanyi, watak Tun Teja juga menuntut saya untuk beraksi dalam babak pergaduhan di mana saya juga perlu belajar ilmu persilatan,” katanya.

Tidak hanya tertumpu pada karier lakonan, pengacara Primadona ini juga tidak pernah terlepas dari usikan mengenai kehidupan peribadinya yang kini dikatakan sedang berteman.

“Rasanya tidak elok untuk saya dedahkan siapa dia tapi cukuplah saya akui yang kini memang saya sudah berteman.

“Saya tidak mahu ada sebarang tekanan, lagi pun dalam proses berkawan ini banyak perkara yang boleh berlaku. Bila semuanya sudah serius dan berada di fasa lain, barulah saya akan berkongsi.

“Saya terpaksa akui perkara ini kerana mahu menghentikan cerita-cerita kurang enak yang mengaitkan saya dengan lelaki berstatus VIP di mana semua itu adalah tidak benar,” katanya.

Izreen sahut cabaran Erma

Manakala buat Izreen yang pertama kali terlibat dalam lakonan teater, beraksi di samping nama-nama besar menjadi pembakar semangat untuk mengembangkan lagi karier lakonannya.

“Belum cuba, belum tahu. Peluang yang datang ini tidak selalu ada jadi saya sahut cabaran Erma sendiri untuk pengalaman yang baru.

“Walaupun cabaran terbesar adalah bergandingan dengan nama-nama besar, tapi saya yakin inilah masa untuk menguji kemampuan saya dalam lakonan.

“Menjadi atau tidak saya bawa watak Raden Galuh Chenderai itu bukan pengukurnya, yang penting saya cuba buat yang terbaik,” ujarnya.

Beralih pada sisi peribadinya, Izreen berkongsi perasaan sedih kerana terpaksa berjauhan dengan putera kesayangannya Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 16 bulan atas tuntutan kerjayanya.

“Inilah pengorbanan terbesar yang pernah saya buat. Saya mahu dia diberi perhatian sepenuhnya dan sebab itu saya rela dia dijaga oleh ibu dan ayah di kampung.

“Jadual kerja saya yang tidak menentu mungkin tidak sesuai untuk dia berada di samping saya buat masa ini. Tetapi saya akan pastikan bertemu dengan Umar sekurang-kurangnya sebulan empat kali, jadi dia tidak lupa pada saya,” katanya.

Sedia terima kritikan: Wincci

Biarpun rasa bertuah kerana diberi peluang besar ini, Wincci yang memegang watak Hang Lipo bagaimanapun telah bersiap sedia dengan segala kritikan yang bakal diberikan kepadanya.

“Selepas ditawarkan untuk terlibat sama dalam teater ini, saya memang sudah bersedia untuk dikritik kerana saya tahu naskhah ini bukanlah sembarangan.

“Ada kalanya, kita juga perlu meletakkan diri pada situasi yang berisiko untuk belajar lebih banyak lagi.

“Saya sangat bertuah kerana biarpun masih baharu, tapi saya diberi peluang untuk turut serta dan ini juga satu penghormatan buat saya,” katanya.

Sedikit mengenai perkembangan terbaharunya, Bekas Ratu Cantik Malaysia 2008 yang sibuk menguruskan kariernya di Taiwan ini, telah menamatkan pengajian PhD dalam jurusan perniagaan di Open University Kuala Lumpur.

“Saya sangat gembira dapat habiskan pengajian ini walaupun ada kalanya jadual yang padat menyukarkan situasi saya.

“Pernah juga saya hampir putus asa tapi saya kuatkan semangat demi masa depan yang lebih baik.

“Selepas ini saya akan beri tumpuan terhadap kerjaya saya di Taiwan dan banyak perancangan yang sedang diaturkan,” ujarnya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment