Sunday 16 November 2014

Keseronokan bertukar tragedi

Inilah contoh rumah bot yang disediakan di Tasik Kenyir.
Inilah contoh rumah bot yang disediakan di Tasik Kenyir.

KUALA BERANG - Kegembiraan 40 individu yang terdiri daripada sanak saudara menikmati percutian di atas rumah bot di Tasik Kenyir bertukar sedih apabila salah seorang daripada mereka mati lemas.

Mohd Daniel Rosapawi, 9, meninggal dunia akibat lemas setelah bot laju yang dinaiki bersama bapa saudara dan dua sepupunya terbalik dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam.

Menurut kakak mangsa, Nor Aisyatul Aziera, 15, mereka menaiki bot laju berkenaan untuk mandi di kawasan Sungai Lawit.

"Bot laju itu terbalik lima minit selepas bertolak dari rumah bot yang kami diami, iaitu pada jarak hanya 50 meter.

“Saya tidak putus berdoa, dan hanya mampu melihat orang mencarinya," katanya.

Namun kata Nor Aisyatul Aziera, ALLAH SWT lebih sayangkan adiknya apabila 15 minit kemudian Mohd Daniel ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa. 

“Sebelum adik bersama bapa saudara dan dua sepupu (kanak-kanak) menaiki bot laju saya sempat menyapanya. Tidak sangka itu kali terakhir bercakap dengannya," katanya.

Memandangkan jarak lokasi kejadian dengan rumah bot tidak begitu jauh, Nor Aisyatul Aziera dapat melihat seorang demi seorang ahli keluarganya diselamatkan.

Hatinya luluh apabila dimaklumkan adiknya sudah meninggal dunia.

“Malam tadi (malam kelmarin) kami tidur bersebelahan dan sempat berbual panjang.. kami jarang jumpa kerana saya tinggal di asrama Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang, dia pula tinggal dengan nenek di Felda Jerangau Barat,” katanya kepada Sinar Harian di Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu.

Nor Aisyatul Aziera berkata, hubungan dia dan adiknya rapat, malah selalu berhubung melalui telefon bertanyakan khabar apatah lagi mereka dua beradik sahaja.

Katanya, mereka mengikuti rombongan sanak saudara yang menyewa dua rumah bot untuk bercuti di Tasik Kenyir.

“Kami bercuti selama tiga hari dua malam dan dijadualkan pulang esok (hari ini)".

"Namun tidak sangka tragedi ini berlaku, pada hal adik sudah pakai jaket keselamatan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan mangsa dibawa keluar ke Pengkalan Gawi dari kawasan kejadian sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu menaiki bot laju yang memakan masa perjalanan hampir empat jam.

- Artikel lengkap di: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment