Sunday 16 November 2014

Keluarga bekas pramugara MAS didakwa lakukan serangan seksual rayu bantuan


Syaza (kiri) turut berkongsi pengalaman ketika berjumpa bapanya di Paris pada awal bulan Oktober.

SUBANG JAYA: Anak-anak kepada seorang bekas pramugara Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang penumpang wanita warga Australia merayu agar kerajaan Malaysia dapat membuat permohonan untuk pramugara berkenaan dibawa pulang ke Malaysia.

"Jika ada ruang untuk siasatan, mengapa beliau tidak boleh disiasat di Malaysia? Seperti mana difahami ia adalah bidang kuasa yang termaktub di bawah Konvensyen Tokyo 1963," kata menantu pramugara berkenaan Mohamad Faiq Ilhan, 24, yang mewakili tiga anak perempuan pramagura itu di satu sidang media di Holiday Villa, Subang Jaya hari ini.

Dia yang turut membaca kenyataan yang ditulis oleh anak-anak pramugara itu menjelaskan bahawa Peguam mereka dan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) telah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Luar Negeri bagi memohon bantuan.

"Kami semua merindui sangat bapa kami dan tidak tahu apa lagi yang boleh kami lakukan.

"Kami hanya berharap kepada mana-mana pihak yang boleh membantu kami untuk membawa balik bapa kami," tambah Mohamad Faiq.

Keluarga penyelia penerbangan itu turut meluahkan kekecewaan terhadap MAS yang dikatakan bertindak untuk menamatkan perkhidmatan bapa mereka menerusi sepucuk surat bertarikh 22 Ogos.

Mereka juga telah memfailkan rayuan kepada MAS untuk mempertimbangkan surat penamatan tersebut tetapi berkata tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Surat tersebut mengatakan bahawa MAS memberinya 60 hari untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu sedangkan mereka sedia maklum bahawa bapa kami sedang dalam tahanan di Paris dan tidak berada dalam Malaysia.

"MAS tidak memberikan bantuan kepada kami untuk menjejaki bapa kami. MAS meninggalkan kami dalam keadaan serba tidak tahu dan ini amat mengecewakan dan menyedihkan kami sekeluarga," tambahnya.

Faiq ditemani isteri, Syaza, 24, yang merupakan anak kepada pramugara itu.

Syaza turut berkongsi pengalaman ketika berjumpa bapanya di Paris pada awal bulan Oktober.

"Kami begitu sedih sekali. Dalam tempoh satu minggu kami di sana kami sempat berjumpa dengannya sebanyak 3 sesi.

"Dia (bapa) telah kehilangan berat badan. Dia kelihatan sakit dan tertekan. Dia menghadapi masalah berkaitan pemakanan dan mengalami stres selain tekanan darah tinggi.

"Paling menyedihkan adalah pada hari terakhir kerana kami tidak dapat berjanji kepadanya bila dia boleh pulang," kongsi Syaza yang tidak dapat menahan kesedihan.

Sementara itu, presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin yang hadir pada sidang media yang sama kecewa dengan tindakan MAS yang dikatakan bertindak untuk menamatkan perkhidmatan pramugara terbabit.

"Kenapa mereka menarik diri begitu awal. Pramugara itu belum didakwa lagi. Mereka sepatutnya membantu keluarga dengan bantuan guaman dan sebagainya.

"Kebajikan pekerja perlu diutamakan," kata Ismail.

Beliau turut berkata bahawa pihak keluarga akan menentukan jika mereka akan mengambil sebarang tindakan.

"Keutamaan kami sekarang adalah untuk membawa pulang pramugara itu," katanya.

Pada 4 Ogos, anak kapal berkenaan ditahan oleh pihak polis di Perancis atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap salah seorang penumpangnya.

MAS turut mengesahkan perkara itu susulan dakwaan oleh seorang penumpang yang membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Paris menggunakan pesawat MH20.

“Penerbangan Malaysia sentiasa mengharapkan standard yang terbaik dari kakitangan kami dan kami juga mengambil serius dakwaan seumpamanya.

“Kami akan membantu pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan mereka dan kami ingin menegaskan bahawa keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata MAS di dalam satu kenyataan media bertarikh 14 Ogos.

Pada 24 Ogos, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Laura Bushney mendedahkan insiden tersebut dalam sebuah rancangan temu bual Australia.

Bushney mendakwa pramugara terbabit telah datang dan duduk di sebelahnya selepas tiga jam penerbangan yang sedang menuju ke Paris.

Pramugara itu kemudiannya dikatakan telah meletakkan tangan di atas pehanya atas alasan cuba ‘menenangkannya’, kata Bushney dalam satu sedutan temu bual rancangan Sunday Night di Channel Seven.

“Dia mengurut kaki saya. Saya amat takut dan hanya ingin turun dari kapal terbang.
NSaya asyik bertanya sendiri – kenapa saya tidak menjerit? Kenapa saya tidak menghentikan perlakuannya? Saya seorang yang tabah dan mampu melakukannya,” tambah Bushney yang menyatakan dirinya takut sehingga panik tidak bersuara, menurut laporan dipetik Sydney Morning Herald.

Bushney dan Channel Sevel dikecam oleh warga media sosial Malaysia kerana laporan disiarkan ketika negara sedang berkabung di atas tragedi pesawat MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, termasuk 43 warga Malaysia.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment