Sunday 2 November 2014

Jualan Axia cecah 44,000

Axia kembar Myvi?

TEMPAHAN Perodua Axia telah mencecah 44,000 unit berbanding sasaran awal sebanyak 30,000 menjelang akhir 2014, kata Presiden Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) Sdn Bhd, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Sehubungan itu, syarikat itu sedang mempertimbangkan sasaran baru bagi akhir tahun dan pada masa yang sama memastikan ia dapat memenuhi tempahan sedia ada, kata Aminar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

"Sehingga kini sebanyak 9,000 model Axia telah berjaya diserahkan kepada pembeli. Disebabkan permintaan yang tinggi, kami telah membuat pelarasan agar pengeluaran dapat memenuhi permintaan," kata beliau.

Amanar berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah 'Skuad Keselamatan Junior Perodua Squad' di ibu pejabat Perodua di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan model terbaru itu dijangka mengalami kelewatan penghantaran disebabkan masalah mendapatkan alat ganti yang sesuai dan bukannya disebabkan kapasiti kilang.

Penghantaran mungkin tertangguh sehingga enam bulan dan syarikat berharap dapat mengurangkannya kepada 1.5 bulan menjelang akhir tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dana RM70 juta oleh kerajaan untuk membangunkan pembuatan kereta elektrik di dalam pembentangan Bajet 2015, Aminar berkata, Perodua tidak mempunyai perancangan untuk terlibat di dalam pembuatan kereta elektrik dan ia akan terus memberi perhatian kepada segmen kenderaan cekap penggunaan bahan api.

"Masih terdapat banyak lagi ruang di dalam bidang ini, yang kita boleh perbaiki dan terokai.

"Kita akan terus mengusahakan teknologi "enjin pembakaran dalaman" dari segi penjimatan minyak dan pengendalian dan ia setanding dengan kenderaan elektrik ," katanya lagi.

Objektif utama program 'Skuad Keselamatan Junior Perodua' itu ialah untuk mendidik muid-murid sekolah rendah akan pentingnya keselamatan di sekolah dan rumah. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment