Sunday 30 November 2014

Hentikan buang kucing!

  • Foto sumber internet

KANGAR - Masyarakat Malaysia disaran agar menghentikan tabiat membuang kucing di merata tempat dengan sewenangnya hingga haiwan itu hidup berkeliaran di jalanan tanpa makanan dan tempat tinggal sempurna.

Menyarankan demikian, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Romli Dai berkata, pemelihara kucing biasanya membuang kucing di tepi-tepi jalan dan pasar bila haiwan tersebut membiak begitu pantas akibat kemunculan kucing-kucing betina di rumah mereka.

"(Sedangkan) anak-anak kucing yang baru dilahirkan bukan sahaja memerlukan kasih sayang daripada tuannya, tetapi juga daripada ibunya," ujar Romli semasa berucap merasmikan Karnival Kucing - Pameran dan Pertandingan Kucing Cantik serta Haiwan Kesayangan, di sini hari ini.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid berkata, pihaknya sentiasa menganjurkan program keluarga angkat untuk mengambil kucing-kucing jalanan yang telah terlebih dahulu mendapat penjagaan awal kelab itu.

Dalam pada itu, difahamkan pihak berkuasa di negara jiran menjalankan kempen mengutip dan mengkasi kucing betina jalanan.

Telinga kucing itu potong sedikit sebagai tanda sudah dikasi dan dilepaskan di tempat awam yang dibiasanya diletakkan bekalan makanan haiwan oleh orang awam yang prihatin.

Karnival dua hari itu anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan KKM, diadakan di Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat.

Pengurus Besar PKENPs, Kassim Zakaria berkata, ini kali keempat karnival sedemikian diadakan dengan kerjasama KKM.

Sepanjang karnival itu, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pameran dan pertandingan kucing, penjualan kucing dan haiwan-haiwan lain, pengambilan kucing angkat, pertandingan meniru aksi dan suara kucing dan rawatan kesihatan kucing.

Khalid berkata, pihaknya mengumpul kira-kira 150 ekor kucing tempatan dan 180 ekor kucing dari seluruh Malaysia untuk dipamer dan dipertandingkan.

Katanya, pertandingan itu melibatkan dua kategori iaitu kucing bulu panjang dan bulu pendek selain pertandingan memakai baju kucing mengikut daya kreatif pemilik kucing.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment