Sunday 30 November 2014

Ekspresi cinta Azad & Eira

Azad & Eira

SELAIN terkenal dengan bidang lakonan, siapa tahu sebenarnya pasangan suami isteri ini sebenarnya memiliki bakat dalam bidang nyanyian. Tidak pernah merancang untuk menghasilkan sebuah album bersama, Azad memberitahu, lagu-lagu yang terkandung di dalam album tersebut mula direkodkan sejak tiga tahun lalu.

“Album ini dihasilkan untuk berkongsi kisah kasih sayang kami kepada pasangan yang bercinta. Kalau boleh, kami mahu elakkan kisah penceraian yang kini kita lihat semakin berleluasa.

“Jadi kami cuba tampilkan sesuatu yang ‘sweet’ untuk dikongsi kepada orang ramai. Bila saya berduet dengan isteri, saya anggap nyanyian itu saya sampaikan untuknya. Lagi pun lagu-lagu itu memang dicipta khas untuk kami,” katanya.

Kata Eira, dirinya cuba untuk memahami lirik lagu secara mendalam untuk menjadikan nyanyian duet itu lebih berkesan.

“Setiap kali menyanyi dengan Azad, saya cuba berikan penghayatan yang baik supaya ia perasaan itu menjadi lebih semula jadi. Kalau dulu kita ada pasangan duet Nurul dan Ajai, mungkin lepas ini Azad dan Eira pula,” katanya sambil tertawa.

Album Azad Eira mengandungi sebanyak lima buah lagu ciptaan Adi dan Panji Sakti antaranya Dua Hati Satu Jiwa, Prasasti Cinta, Tersedar Aku, Sajak Dari Hati dan Nafas Hidup.


Aura baru Azad

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang nyanyian, Azad akui ia tidak semudah yang dibayangkan.

“Seperti yang orang lain tahu, saya mungkin lebih dikenali sebagai pelakon dan tidak nafikan pada awal pembikinan album ini memang terasa lawak sedikit tapi ia menjadi lebih serius apabila bertemu dengan komposer Adi 6ixth Sense.

“Pada awalnya dia buat lagu ‘Prasati Cinta’ untuk Eira dan ketika itu memang saya tidak terlibat langsung tapi secara kebetulan Adi tawarkan lagu duet untuk kami.

“Memang tidak percaya tapi tidak salah rasanya untuk mencuba. Dalam album ini kami ada dua lagu duet yang dihasilkan Adi iaitu Sajak Dari Hati dan Dua Hati Satu Jiwa,” ujarnya.

Baginya bidang lakonan dan nyanyian adalah dua perkara yang berbeza dan secara tidak langsung memberi cabaran buat dirinya.

“Apa yang membuatkan saya mahu mencuba apabila diberi kepercayaan oleh dua orang komposer. Kalau orang lain boleh yakin, kenapa saya tidak mahu mencubanya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak buat mereka malu dengan saya,” katanya berseloroh.

Demi memberi tumpuan pada perniagaan dan bidang nyanyian yang diceburi, bintang ‘Fobia Malam Pertama’ ini mengambil keputusan berehat sebentar dari dunia lakonan.

“Sebenarnya sudah tujuh bulan juga saya tidak ambil seberang tawaran lakonan. Tapi itu bukan bermakna saya terus tolak jika ada tawaran yang baik.

“Tidak bermakna jika saya sering tampil dengan produk yang sama. Sebab itu saya cuba berehat dan dapatkan aura yang berbeza dari bidang perniagaan dan nyanyian.

“Kita lihatlah bagaimana hala tuju album ini dan bagaimana dengan rezekinya. Kami sendiri tidak boleh menjangkakannya dan hanya mengharapkan yang terbaik,” turutnya yang bakal muncul dengan drama ‘Poskad Dari Itali’ Februari nanti.


Eira lebih selektif

Pada masa yang sama, Eira mendedahkan bakat nyanyiannya banyak mendapat tunjuk ajar daripada suaminya. “Kalau diikutkan ini bukan album pertama saya di mana sebelum ini saya pernah hasilkan sebuah album namun atas beberapa masalah ia tidak dapat dilancarkan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya, bidang nyanyian Azad bermula terlebih dahulu berbanding saya kerana dia pernah menyertai program ‘Audition’.

“Dia tahu teknik nyanyian dengan baik dan banyak yang saya belajar daripadanya,” kongsinya.

Sejak bergelar isteri, ibu kepada Amarra Sofea Rose yang kini berusia hampir 2 tahun akui selektif dalam menerima tawaran lakonan.

“Sejak berkahwin lagi sebenarnya saya lebih bersifat selektif untuk menerima tawaran. Tambahan pula sekarang sudah ada anak, jadi memang saya memilih. Bergelar isteri dan ibu bukanlah mudah kerana ada tanggungjawab yang lebih besar. Tapi saya masih mahu terlibat dalam bidang lakonan kerana itulah minat saya Cuma keutamaan diberikan kepada keluarga,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment