Monday 27 October 2014

Permata hati Awal, Scha



MENERIMA kedatangan orang baharu dalam kehidupan rumah tangga mereka adalah anugerah yang paling berharga kepada pasangan selebriti popular ini.

Keduanya mengakui sejak dikurniakan cahaya mata, hari-hari yang dilalui juga lebih indah dan berseri.

Bagi kedua pelakon dan model tanah air ini tiada apa yang lebih penting kini selain puteri sulung mereka yang diberi nama Lara Alana.

Menurut Awal Ashaari, sebagai bapa dia akan cuba sedaya upaya mendidik Lara Alana atau panggilan manjanya Lara dengan sebaik mungkin.

Begitu juga bagi ibunya, Scha Al-Yahya yang sentiasa berdoa Lara akan membesar mengikut landasan yang betul.

“Kami mahu Lara menjadi anak yang sentiasa menghormati dan tidak menyusahkan orang sekeliling.

“Semoga apa yang diimpikan tercapai dan Lara menjadi anak yang baik,” ujarnya di majlis akikah dan kesyukuran Lara Alana baru-baru ini.

Mewahkan anak: Awal, Scha tahu batas

Bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang cukup sempurna, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya mengakui mereka sememangnya sentiasa memanjakan Lara Alana.

Jelas Awal bukan sengaja memewahkan anaknya itu, tetapi dia mahu Lara merasai nikmat kemewahan yang dimilikinya dan isteri.

“Kalau bukan kami sebagai bapa dan ibu sendiri yang memanjakan dan memewahkan dia, siapa lagi,” katanya.

Bagaimanapun ujar Awal, dia dan Scha tetap tahu batas-batasnya dan akan memberi panduan kepada anaknya itu supaya tidak leka dengan kemewahan yang diberi.

“Saya pernah bercakap dengan Scha mengenai perkara ini dan apabila dia meningkat dewasa, akan ada peraturan yang perlu diikut.

“Lagipun, kami mahu dia tahu susah senang hendak mendapatkan sesuatu. Biarlah semuanya lebih seimbang nanti.

“Kami juga hanya beli dan berikan sesuatu kepadanya mengikut kemampuan kami sahaja. Bukan semua benda yang dia ada sekarang kami beli, sebaliknya ada yang dihadiahkan oleh orang lain khususnya peminat,” katanya turut diakui Scha.

Diaju pertanyaan adakah Awal dan Scha tidak kisah Lara mengikut jejak langkah mereka dewasa nanti, jelas Awal, mereka tidak pernah menghalang apa sahaja cita-cita anaknya itu.

“Sekarang ni pun kami tengok dia seronok sangat bergambar dan ketika terlibat sebuah penggambaran untuk majalah baru-baru ini, dia kelihatan gembira.

“Kami lihat dia suka kalau orang beri perhatian kepadanya, kalau sudah minatnya untuk menjadi model atau apa sahaja dalam bidang seni, kami takkan halang,” ujar Awal mewakili Scha.

Menurut Awal, mereka juga telah menerima pelbagai tawaran komersial bersama Lara.

“Insya-ALLAH, jika tiada halangan kami akan terima selagi ia tidak membebankan Lara,” katanya.

Buka instagram Lara

Bercerita mengenai laman sosial instagram yang dibuka oleh Awal khas untuk Lara, kata Awal, pada mulanya dia lebih selesa akaun tersebut diprivasikan.

“Tetapi sewaktu mahu membuat majlis akikah ini kami rasa lebih elok ia dibuka kepada orang ramai.

“Lebih-lebih lagi ia memudahkan kami berkongsi tajaan-tajaan yang diterima bersama orang ramai.

“Setakat ini kami mendapat respons yang baik daripada banyak pihak khususnya ibu bapa di luar sana dan peminat,” katanya Instagram tersebut menyimpan kenangan dan perjalanan sejak Scha mengandung sehingga kini.

Tambah Awal, dia tidak menyangka sejak akaun tersebut dibuka kepada orang ramai, pengikut Lara telah mencecah ke angka 40,000 orang.

“Yang paling baik apabila tiada satu pun iklan dimuat naik di laman tersebut, rata-rata mereka bercerita mengenai anak-anak sahaja.

“Malah ramai yang menyokong usaha membuat akaun itu sebagai perkara baharu yang perlu ibu bapa buat untuk anak-anak mereka,” katanya gembira kerana akaun itu dihormati semua pihak.

Scha lebih sensitif

Dalam pada itu, Scha sempat berkongsi perubahannya sejak bergelar ibu.

Akui pelakon Awan Dania itu, walaupun dia masih seperti dahulu namun hatinya kini lebih mudah tersentuh.

“Sejak ada anak ni, saya lebih banyak bersabar dan menjadi lebih penyayang. Sebelum ni memang saya tidak pernah rasa apa yang saya rasakan sekarang.

“Malah saya lebih sensitif terutamanya bila lihat Lara menangis. Hati ini terus jadi sayu dan sedih,” katanya tidak sanggup berjauhan dengan anaknya buat masa sekarang.

Kerana itu, Scha hanya akan kembali aktif dalam dunia lakonan selepas dia benar-benar bersedia.

Ditanya adakah mereka merancang untuk menambah cahaya mata, Scha dan Awal bersetuju mahu memastikan anak mereka besar dahulu.

“Rasanya bukan dalam masa terdekat, kami mahu Lara besar sedikit. Tapi kalau dah rezeki kami reda,” kata mereka.

Berkongsi mengenai majlis akikah dan kesyukuran berkenaan, jelas Awal, persiapan telah diadakan sejak dua minggu lalu.

“Mula-mula nak buat awal, tetapi ada sahaja halangan dan akhirnya kami memilih 1 Muharram untuk majlis ini,” kata mereka. Majlis tersebut turut dihadiri rakan-rakan artis seperti Dynas Mokhtar dan Lisa Surihani.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment