Thursday 30 October 2014

Pengganas India hampiri sempadan Malaysia

Jagtar Singh Tara dikehendaki polis setelah lolos dari penjara di India sejak 10 tahun lalu.
Jagtar Singh Tara dikehendaki polis setelah lolos dari penjara di India sejak 10 tahun lalu.

KOTA BHARU - Polis Kelantan bertindak memperketatkan kawalan keselamatan negeri ini susulan maklumat seorang penjenayah warganegara India bersabit kesalahan membunuh seorang menteri di sana mula menghampiri sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, penjenayah yang sudah 10 tahun lolos dari penjara di India itu mula dikesan memasuki Thailand, bulan lalu.

Katanya, berikutan kebimbangan terhadap pergerakan penjenayah berbahaya itu, pihaknya mengarahkan semua agensi yang terlibat menjaga keselamatan sempadan Malaysia di negeri ini diperketatkan.

“Mengikut maklumat yang diterima, penjenayah yang dikenali sebagai Jagtar Singh Tara adalah seorang banduan warganegara India dihukum kerana membunuh menteri. Banduan ini bolos dan berada di Thailand, berkemungkinan cuba mendekati sempadan Malaysia melalui Sungai Golok.

“Oleh sebab itu, kawalan keselamatan terutamanya di pintu masuk dan laluan-laluan yang mungkin menjadi pilihan penjenayah ini diperketatkan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Datuk Rosli berkata, arahan sudah dikeluarkan supaya semua Ketua Polis Daerah, Unit Pencegahan Penyeludupan, Polis Marin dan tentera mengadakan rondaan di sempadan, sekatan jalan raya, pemeriksaan di kawasan masing-masing diperhebat.

“Kawalan bukan sahaja melibatkan negeri ini, malah turut membabitkan negeri-negeri lain yang juga berada bersempadan dengan Thailand iaitu Perak, Perlis dan Kedah,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama daripada orang ramai yang mengesyaki mana-mana individu menyerupai suspek ataupun mencurigakan supaya tampil ke mana-mana balai polis dengan segera untuk membuat laporan.

- Sumber: Sinar Harian, Okt 29

No comments:

Post a Comment