Thursday 30 October 2014

Bekas pekerja kilang bebas tuduhan bunuh bayi dalam tandas

Pihak pendakwaan gagal membuktikan kelahiran hidup ke atas bayi berkenaan selain punca sebenar kematiannya belum ditentukan.

GEORGE TOWN: Seorang wanita sarat mengandung menarik nafas lega apabila mahkamah tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskannya daripada tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya lima tahun lalu.

Ketika keputusan dibacakan oleh Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim, tertuduh Nurul Syuhada, 24, yang kini mengandung lapan bulan dilihat menitiskan air mata.

Nurul Syuhada dari Parit Buntar, Perak, dituduh membunuh bayinya dalam tandas wanita di kilang Jabil Circuit, Bayan Lepas, George Town antara jam 3.30 pagi dan 7 pagi pada 30 Disember 2009.

Zamani dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kelahiran hidup ke atas bayi berkenaan selain punca sebenar kematiannya belum ditentukan.

Tambahnya, pihak pembelaan turut berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes tersebut.

Zamani seterusnya memerintahkan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 25 Jan 2011, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Nurul Syuhada tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas wanita itu.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 6 Mac, 2013 Mahkamah Rayuan mensabitkan dan mendenda Nurul Syuhada RM3,000 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan, iaitu melupuskan bayinya secara rahsia. Dia membayar denda itu.

Mahkamah Rayuan kemudiannya meminda pertuduhan Nurul Syuhada selepas penggantian pertuduhan dilakukan berdasarkan fakta-fakta ketara kes itu.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan memerintahkan wanita itu membela diri atas pertuduhan membunuh dan menghantar kembali kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Mengikut fakta kes mayat bayi tersebut dijumpai tersangkut dalam lubang tandas kira-kira 2.15 petang keesokan harinya oleh seorang tukang cuci selepas menerima aduan tandas tersumbat.

Seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwaraya Siti Fatimah Talib manakala Nurul Syuhada diwakili peguam E. Gunasegaran.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment