Tuesday 21 October 2014

Konflik pelajar asrama


SELEPAS kejayaan teater SudirMania dan Belengas, sekali lagi Revolution Stage (RS) tampil dengan karya baharu, Asrama-RA All Stars.

Mendapat sentuhan pengarah Khairunazwan Rozdy, pementasan yang bertempat di Kuala Lumpur Performing Arts Centre(KLPac), Sentul bermula 16 hingga 19 Oktober lalu itu, berlangsung selama dua jam.

Ia menggandingkan sembilan bintang popular seperti Siti Saleha, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Fynn Jamal, Intan Nor Saina, Amerul Affendi, Tuan Faisal termasuk pelakon asal, Nadiya dan Sherry.

Pernah dipentaskan tahun lalu di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka yang hanya menggandingkan Nadiya Nisaa, Sherry Al-Hadad bersama pelajar First Time Worksyop, persembahan kali ini nyata lebih berskala besar dengan kehadiran ramai pelakon terkenal.

Asrama-RA All Stars mengisahkan sekumpulan pelajar mengikuti kursus kepimpinan di sebuah kem yang disampaikan dengan santai dan mudah difahami.

Penceritaannya pula tertumpu dalam asrama perempuan apabila enam pelajar perempuan berkelahi kerana kehilangan rakan baiknya, Nor yang meninggal akibat bunuh diri.

Dari situ, rahsia demi rahsia terbongkar apabila masing-masing sebenarnya ada agenda tersendiri.

Bermula dengan skandal cinta guru-pelajar, kes mengandung di luar nikah sehingga dikaitkan dengan kes bunuh diri.

Satu persatu rahsia didedahkan, namun hingga saat akhir sehingga penonton terus terpaku di kerusi untuk mengetahui kebenaran 'misteri' yang berlaku kepada mereka.

Di akhir cerita, setiap perkara yang berlaku merupakan mimpi Laila, kawan baik Nor yang mengimbas kembali saat-saat arwah menggantungkan diri di asrama tersebut.

Tidak dapat dinafikan, kesemua pelakon memberikan persembahan terbaik biarpun kadang kala penggunaan perkataan 'kesat' dikatakan agak keterlaluan.

Pun begitu, pementasan ini berjaya memberi kesan di hati penonton kerana sarat dengan pengajaran dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

Menerusi pementasan ini, masih terdapat 'adlib' antara pelakon yang merupakan situasi biasa berlaku dalam sebuah pementasan dan melibatkan beberapa babak sahaja.

Selain dihidangkan lakonan mantap pelakon, RS menyediakan kejutan buat penonton apabila Fynn Jamal mendendangkan empat buah lagu termasuk Arjuna Beta dan Terbang Tunduk sebagai penutup tirai persembahan.

Cabaran jadual pelakon

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip, Khairunazwan Rodzy bersyukur dengan maklum balas positif dan jualan tiket amat memberangsangkan sepanjang empat hari pementasan.

Biarpun menghadapi kesukaran menyusun jadual latihan pelakon terlibat, dia mengambil insentif sendiri bagi menjayakan pementasan tersebut.

"Setiap sesi latihan, hanya masa tertentu sahaja dapat mengumpulkan kesemua pelakon dalam satu-satu masa," jelasnya.

Menyentuh mengenai penggunaan kata-kata kesat dalam pementasan pada hari pertama teater tersebut, Khairunazwan berkata, situasi itu masih terkawal.

"Ia akan dijadikan sebagai pengajaran dan saya akan pastikan ia tidak berulang," jelasnya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment