Tuesday, 21 October 2014

Jangan bimbang, tiada mafia di Kuala Sepetang - Polis


IPOH: Polis Perak hari ini menafikan wujudnya kegiatan kumpulan mafia yang bermaharajalela di Pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga sehingga kawasan itu menjadi lubuk penjenayah.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata dakwaan itu tidak berasas kerana polis tidak pernah menerima sebarang laporan daripada orang ramai terutama penduduk di kawasan itu berhubung kegiatan mafia.

"Kita tidak menafikan berlakunya jenayah seperti dadah, penyeludupan... tetapi perkara itu tidak begitu digeruni atau membimbangkan penduduk yang tinggal atau berniaga di kawasan itu.

"Saya tidak menafikan (kegiatan kongsi gelap) ada berlaku tetapi saya menafikan istilah mafia bermaharajalela, mafia menguasai Kuala Sepetang...itu tidak betul," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa kawasan perkampungan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Kuala Sangga di negeri ini dikuasai kumpulan mafia yang melakukan kegiatan jenayah seperti perjudian, pengedaran dadah, penyeludupan senjata, pelacuran serta menceroboh tanah kerajaan.

Paramasivam berkata walaupun kegiatan jenayah berlaku tetapi impaknya tidak begitu besar sehingga menyebabkan penduduk atau pelancong bimbang dengan tahap keselamatan di kawasan itu.

"Jika ada aktiviti seperti yang didakwa, sudah tentu pelancong akan takut ke sana untuk melihat kelip-kelip di waktu malam, memancing atau masuk ke hutan bakau jika mafia menguasai kawasan tersebut," katanya.

Menurutnya laporan akhbar itu turut menyentuh integriti pasukan polis dalam membanteras kegiatan jenayah itu apabila ia mendakwa pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan atau sengaja membiarkan kumpulan itu bermaharajalela.

Beliau berkata setiap kawasan yang berpenduduk, pasti berlaku jenayah dan adalah mustahil untuk menjadikan kawasan tertentu sebagai kawasan sifar jenayah.

"Di mana ada penduduk secara logiknya jenayah akan berlaku dan kita (polis) akan mengawal kegiatan jenayah," katanya.

Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat oleh ketua kampung kawasan berkenaan yang mendakwa laporan akhbar tersebut sebagai tidak berasas.

"Dakwaan itu (kegiatan mafia) menyebabkan spekulasi negatif dan mencemarkan nama baik Kuala Sepetang yang terkenal dengan aktiviti ekopelancongan serta boleh menjejaskan perniagaan dan aktiviti penduduk kawasan itu," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a comment