Wednesday 24 September 2014

Pemandu lori sampah maut dihempap kren

Kren yang sedang mengangkat sebuah generator secara tiba-tiba terjatuh dan menghempap kepala lori berkenaan.

MELAKA: Seorang pemandu lori sampah maut apabila dihempap sebuah kren pada kejadian 5.30 pagi tadi semasa sedang melakukan kerja pembersihan di belakang sebuah pasar raya di Melaka Raya.

Anas Tawi berusia 56 tahun bertaraf penduduk tetap meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian bahu dan leher.

Semasa kejadian, mangsa bersama seorang lagi kelindan, Sabri Bidin, 45, mahu mengundurkan lori untuk mengangkat tong sampah.

Tetapi kren yang sedang mengangkat sebuah generator secara tiba-tiba terjatuh dan menghempap kepala lori berkenaan.

Menurut saksi yang juga seorang pengawal keselamatan di pasar raya itu, semasa kejadian dia sedang meronda kawasan dan memberitahu pekerja projek terbabit kebiasaannya hanya tiba pada pukul 8.30 pagi.

“Kejadian ini lebih kurang 5 setengah dan selalunya dia datang tarik tong sampah dan tiba-tiba kren ini jatuh menghempap lori, tak tahu kenapa jadi begini,” kata beliau.

Terdahulu, usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit itu mengambil masa kira-kira satu jam oleh anggota balai bomba dan penyelamat Jalan Kubu.

Jenazah mangsa yang menetap di Durian Tunggal, Melaka itu dibawa ke hospital Melaka untuk dibedah siasat.

- Sumber: Astro Awani, foto: Bernama

No comments:

Post a Comment