BIARPUN usianya kini menginjak 30-an, Saharinah Sahaban tidak pernah terdetik untuk melepaskan impiannya untuk bergelar penyanyi.

Anak kelahiran Hulu Langat, Selangor sebenarnya sudah lama melibatkan diri dengan dunia seni namun lebih selesa untuk menyanyi di kelab ataupun majlis korporat.

Mahu dikenali dengan panggilan Sarihana, dia menceritakan bahawa dirinya pernah menerbitkan album tiga tahun lepas.

Namun entah di mana silapnya, album tersebut tidak menembusi pasaran komersial.

Enggan berputus asa, dia kemudiannya memberanikan diri sekali untuk mengeluarkan single yang bertajuk Sekali ini.

"Terikat dengan komitmen lain, saya terpaksa lupakan niat untuk merakamkan lagu buat seketika.

"Ketika itu saya sibuk dengan kerjaya menyebabkan masa untuk ke studio agak terhad," katanya yang agak ketinggalan terlalu lama.

Sejuta Cerita

Berkongsi mengenai single terbaharunya, Sejuta Cerita (pop) mengisahkan seorang wanita yang terluka dengan cinta tidak kesampaian.

Ujarnya, lagu ini begitu santai dan senang untuk difahami oleh setiap lapisan masyarakat.

"Saya tidak sabar untuk melihat respons daripada peminat saya selepas sekian lama tidak muncul di pasaran komersial.

"Bahkan saya sedar ia bukannya untuk mengejar populariti semata-mata tetapi 'Sejuta Cerita' adalah permulaan kepada impian saya yang tergendala sebelum ini," katanya.

Sambung Sarihana, kemunculannya di arus perdana kerana mahu mencabar kredibiliti dirinya untuk lebih profesional.

"Lagipun minat ini dari sekolah lagi, ia suatu perkara yang harus saya lakukan untuk mencabar kebolehan diri saya.

"Kebetulan pula, saya mengenali ramai penggiat seni yang terlibat dengan cabang muzik. Tidak salah untuk mencubanya. Dan, kegagalan tidak bermakna kita gagal untuk selama-lamanya," tegasnya.

- Sumber: Sinar Harian