MUHYIDDIN: Pelihara penyatuan rakyat atas semangat 1Malaysia - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sejarah kegemilangan penyatuan rakyat di bawah sebuah negara bernama Malaysia mesti terus dipelihara dan diteruskan atas semangat 1Malaysia.
Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu anasir-anasir yang mahu menggugat penyatuan yang telah terjalin selama 51 tahun sebelum ini ditangani bersama.
"Semestinya asas paling penting yang perlu dipupuk adalah keharmonian dan toleransi penduduk berbilang kaum.
"Hanya keharmonian dan toleransi yang menjadi tunjang serta tonggak untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara yang utuh, berwibawa dan dihormati," katanya dalam perutusan Hari Malaysia ke-51 di sini hari ini.
Jelas Muhyiddin, masih banyak yang perlu dilakukan terutamanya dalam memastikan Malaysia berupaya muncul sebagai negara maju yang disegani.
"Perjalanan untuk membangunkan Malaysia menuntut penglibatan semua rakyat.
"Tanpa sumbangan serta pengilbatan rakyat negara kita, Malaysia tidak akan dapat berdiri seperti sekarang ini," ujarnya.
Katanya lagi, gandingan mantap rakyat dan kerajaan selama ini harus diteruskan agar negara dapat membangun dan menjadi lebih gemilang.
Muhyiddin turut menyeru rakyat supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan sepanjang 51 tahun bersatu di bawah naungan negara yang bernama Malaysia.
Berikut adalah ucapan penuh Muhyiddin sempena Hari Malaysia:
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan Salam 1Malaysia
Alhamdulillah, syukur di atas limpah rahmat dan nikmat kurniaan Allah SWT, hari ini genap 51 tahun pembentukan Malaysia. Hari ini sesungguhnya kita rakyat Malaysia boleh berbangga kerana penyatuan negeri-negeri di Semenanjung tanah air dengan Sabah dan Sarawak berjaya melahirkan negara Malaysia yang unik, harmoni dan pesat membangun.
Sejarah kegemilangan penyatuan rakyat di bawah sebuah negara bernama Malaysia mesti terus dipelihara. Setiap pembangunan serta kecemerlangan yang kita nikmati sekarang mesti diteruskan atas semangat 1Malaysia. Anasir-anasir yang mahu menggugat penyatuan yang telah terjalin selama 51 tahun ini mesti sama-sama ditangani dan semestinya asas paling penting yang perlu dipupuk adalah keharmonian dan toleransi penduduk berbilang kaum.
Hanya keharmonian dan toleransi yang menjadi tunjang serta tonggak untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara yang utuh, berwibawa dan dihormati.
Saya amat percaya bahawa perjalanan kita untuk membangunkan Malaysia menuntut penglibatan semua rakyat . Masih terlalu banyak yang perlu kita lakukan terutamanya dalam memastikan Malaysia berupaya muncul sebagai negara maju yang disegani.
Hakikatnya tanpa sumbangan serta pengilbatan rakyat negara kita Malaysia tidak akan dapat berdiri seperti sekarang ini. Gandingan rakyat dan kerajaan yang mantap mesti diteruskan supaya Malaysia dapat terus membangun dan gemilang.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan kepada kita sepanjang 51 tahun bersatu di bawah naungan negara yang bernama Malaysia. Selamat Hari Malaysia!
-- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment