Tuesday 16 September 2014

JAIM serbu rumah pengamal ajaran sesat

Serbuan dilakukan apabila pengikut ajaran berkenaan membuat laporan polis di Ampang dan Gombak, Selangor

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu sebuah rumah yang dipercayai penghuninya mengamalkan dan menyebarkan ajaran sesat di kampung Batu Gajah Pasir, Merlimau, Jasin, semalam.

Pengasas ajaran itu yang digelar guru berusia 60-an mendakwa sebagai pengganti Kesultanan Melayu Melaka dipercayai membawa ajaran berkenaan dari Batu Pahat, Johor, sejak awal tahun ini.

Mengikut jurucakap polis, semasa serbuan kira-kira pukul 2.30 petang semalam, lelaki berkenaan bersama isteri dan dua lelaki lagi berusia 20 hingga 40-an bersama seorang kanak-kanak perempuan berada di kediaman berkenaan.

Serbuan dilakukan apabila pengikut ajaran berkenaan membuat laporan polis di Ampang dan Gombak, Selangor berikutan menyedari ajaran berkenaan sudah terpesong daripada landasan agama Islam.

Didakwa, pengikut yang terdiri daripada golongan profesional dan pelajar kebanyakkannya dari Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diminta melakukan amalan ritual seperti berzikir dan mengorbankan haiwan berikutan mempercayai makhluk ghaib akan membantu mereka sewaktu kesusahan.

Difahamkan, salah seorang pengikut mendakwa ajaran turut melibatkan amalan penyembelihan melibatkan ayam jantan berbulu hitam selain telur rebus, pulut, beras dan makanan yang diletakkan di atas kain merah untuk diberikan kepada jin.

Katanya, dia bersama tiga lagi ahli keluarganya telah mengikut ajaran berkenaan sejak Oktober 2013 semasa dijalankan di Johor.

Pemimpin ajaran berkenaan turut mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Melaka yang sah berikutan mendakwa mempunyai pertalian dengan Sultan Mahmud.

Sementara itu, JAIM turut merampas beberapa jenis buku yang dipercayai digunakan untuk penyebaran ajaran itu selain senjata dan keris-keris lama.

--Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment