Tuesday 16 September 2014

Katerina dekat dengan Maya


Maya Karin

NAMA pelakon cantik, Maya Karin Roelcke, 35, sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam industri seni.

Sejak menceburkan diri di dalam industri seni sejak 10 tahun lalu, bukan sahaja kisah karier wanita ini yang menjadi perhatian, bahkan kehidupan peribadinya.

Setelah bercerai dengan bekas suami, Muhammad Ali Abdullah, empat tahun lalu, ramai peminat bagaikan tidak sabar untuk mengetahui siapakah jejaka yang bakal menemani hidup Maya sekali lagi.

Selepas beberapa kali dikaitkan dengan aktor, Remy Ishak, Maya akhirnya membuat pengakuan hatinya sudah dimiliki oleh seorang jejaka dari luar negara, sejak setahun lalu.

Namun dek kerana faktor kesibukan dan jarak membuatkan keduanya tidak lagi dapat mempertahankan hubungan yang dibina.

Enggan mendedahkan punca perpisahan mereka, Maya berkata, dia menerima segalanya dengan reda kerana segalanya sudah ditentukan.

“Sekarang ini saya hanya ikut apa yang telah ditentukan kepada saya.

Mencari pengganti bukan matlamat saya buat masa sekarang. Buat masa ini, kerjaya adalah fokus utama saya,” katanya.

Tidak mahu memikirkan perkara lalu, Maya berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan khusus mengenai perjalanan hidupnya dan hanya bergerak mengikut kata hati.

“Sekarang saya lebih fokus diri sendiri, buat aktiviti yang saya suka. Saya gemar melancong. Sambil melancong, saya mencari siapa diri saya. Misalnya, bila duduk dalam kereta api selama 5 jam saya dapat berfalsafah dan muhasabah diri.

“Selepas tamat teater muzikal Supermokh, saya merancang untuk pergi bercuti. Buat masa ini tiada tempat khusus yang ingin saya lawati.

“Tetapi New York, Dublin, Denmark, Ireland, Oman, antara tempat yang sudah berada di dalam kepala saya sekarang. Sambil bercuti, saya juga mengambil kesempatan melawat adik atau ahli keluarga saya yang berada di luar negara,” katanya.

Mengakui pernah memikirkan baik buruk hidup sendiri, Maya berkata, dia berasa bersyukur dengan kehidupannya sekarang.

“Ramai berfikiran kita kena kahwin, kena ada anak barulah hidup kita lengkap. Tapi beberapa bulan ini saya ada berfikir adakah saya kurang lengkap kalau saya tak kahwin dan tak ada anak? Kurang lengkapkah saya sebagai wanita?

“Apa yang saya ada sekarang dari segi personaliti, pengetahuan, pengalaman, apa yang saya buat dan jalani, cara saya menolong orang, juga cara saya bawa diri dalam kerjaya. Saya bukan saja seorang wanita tapi saya adalah seseorang. Adakah itu masih tak cukup lagi? Masih tak sempurna lagikah saya sebagai wanita?

“Tapi saya tak nak panik dengan tanggapan-tanggapan orang lain. Alhamdulillah saya ada karier yang sangat menakjubkan,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan: Kasyah, yang juga triliogi terakhir filem Lagenda Budak Setan (LBS), Maya mengakui wataknya sebagai Katerina terlalu dekat buatnya.

“Walaupun saya menyertai keluarga LBS menerusi sekuel kedua, namun Katerina memberi suatu kenangan buat saya. Jika dalam filem sekuel, kita lihat bagaimana Katerina membina wataknya semasa dia masih muda.

“Manakala dalam siri terakhir ini apa yang boleh saya katakan, Katerina lebih matang dan penonton akan melihat perbezaan itu dari remaja sehingga dewasa,” katanya.

Ditebak mengapakah Katerina dekat dengan dirinya, Maya berkata: "Saya tidaklah lalui apa yang Katerina lalui. Dekat maksud saya, saya sama seperti Katerina, melalui perubahan dalam hidup. Dari kurang matang, kepada matang. Dari remaja kepada wanita yang lebih dewasa."

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai filem terbaharunya ini, Maya berkata, tidak ada cabaran yang dilaluinya sepanjang menjayakan filem arahan Sharad Sharan ini.

Bahkan pelakon lain seperti Farid Kamil dan Bront Palarae adalah dua aktor yang sering kali sudah bekerja bersama.

“Alhamdulillah, tidak sukar berlakon bersama Farid dan Bront. Malah selama saya bekerja, tidak sukar untuk mendapatkan keserasian bersama gandingan saya.

“Macam Farid dan Bront kami sudah beberapa kali berlakon bersama dan digandingkan bersama, jadi tidak sukar untuk berlakon dalam LBS3 ini.

“Malah ketika penggambaran diadakan di Pulan Perhentian dan Pulau Langkawi, saya rasa seperti bekerja sambil bercuti. Bekerja dengan Sharad juga seronok,” katanya yang masih menanti dua filem lakonannya, Nota dan Jiwanita ditayangkan di pawagam.

-- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment