Thursday 25 September 2014

Pelajar terlibat gejala ILI dijangka pulih dalam masa dua minggu

Kesihatan pelajar Kolej Vokasional Temerloh yang dijangkiti gejala seakan influenza (ILI) dijangka akan pulih dalam tempoh dua minggu.

KUANTAN: Kesihatan pelajar Kolej Vokasional Temerloh yang dijangkiti 'Influenza Like Illness' atau gejala seakan influenza (ILI) sejak Khamis lepas dijangka akan pulih dalam tempoh dua minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia Dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sejak dikesan seramai 145 pelajar diasingkan berikutan mengalami gejala berkenaan.

"Bagaimanapun jumlah pelajar yang diasingkan disebabkan gejala itu menunjukkan penurunan berperingkat bermula 20 September dengan pelajar yang diasingkan turun kepada 125 orang.

"Kemudian tinggal 73 pelajar pada 21 September, 29 pelajar semalam dan hari ini tinggal 22 orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Pergigian peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Norhizan Ismail di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya tiada kes baharu yang dikesan merebak kolej berkenaan akan bebas daripada ILI dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, ibu bapa dan orang ramai tidak perlu cemas dengan gejala seakan influenza (ILI) yang dikesan di kolej itu sejak Khamis lepas kerana ia dalam keadaan terkawal.

Katanya, tindakan pengasingan dibuat bagi mengelak berlaku penyebaran di kalangan pelajar di kolej tersebut.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment