Thursday 25 September 2014

Model kereta kompak Proton terima pengiktirafan lima bintang

Model terbaru Proton telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara.

Kereta Kompak Proton (PCC), model terbaru keluaran Proton Holdings Bhd (Proton), telah mendapat pengiktirafan lima bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat bintang bagi
Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) oleh Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara (Asean NCAP).

Pengerusi Asean NCAP, Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata PCC ialah kereta kedua (selepas Axia Perodua) yang memperoleh pengiktirafan keselamatan sebelum memasuki pasaran.

Model PCC akan dilancarkan secara rasmi esok.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Proton atas kejayaan ini dan berharap ini akan menetapkan trend dalam kalangan semua pengeluar untuk menghasilkan platform global kereta lima bintang di rantau ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ciri keselamatan sekarang telah meletakkan pasaran kereta penumpang ke tahap lain apabila harga kereta kekal berdaya saing.

"Ini petanda baik bagi kita dan yang penting kepada pengguna kerana mereka akan mengetahui keputusan pengiktirafan kita walaupun sebelum pelancaran dan dengan itu proses membuat keputusan menjadi lebih mudah," kata beliau.

Beliau berkata penetapan akhir hanya akan diumumkan selepas pelancaran rasmi, Asean NCAP hanya boleh mencadangkan bahawa kereta ini mempunyai prospek terbaik untuk menjadi kereta lima bintang yang paling mampu milik (AOP) di rantau Asean.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment