CAHAYA mata adalah anugerah terindah dalam kehidupan berumah tangga. Lebih indah jika cahaya mata itu lahirnya dari rahim kita sendiri.
Saya pernah merasa kecewa dan teruji apabila perkahwinan yang dibina bersama suami selama 13 tahun tidak dikurniakan cahaya mata walaupun telah melakukan banyak usaha.
Hati mana yang tidak sakit jika sering ditanya bila mahu menimang cahaya mata? Soalan-soalan seperti; bila lagi? Sudah ada isi? Begitu menyemakkan fikiran saya. Itu antara soalan-soalan lazim yang bakal diajukan kepada pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak.
Lebih lama tempoh berkahwin, lebih pedas pula soalan yang dilontarkan, baik daripada ahli keluarga sendiri mahupun dalam kalangan rakan-rakan. Soalan-soalan sebegitu ada kalanya membuatkan emosi saya terganggu, malah sering kali tewas dengan perasaan kerana merasakan seolah-olah dipersalahkan.
Tidak berhenti berharap
Kebiasaannya apabila timbul isu sebegini, kesalahan diletakkan di bahu kaum Hawa yang dituduh mandul atau tidak mampu memberikan zuriat. Begitulah yang saya rasa ibarat hayat tiada bererti.
Mujurlah suami, Effendi Shoib, 40, seorang yang amat memahami diri ini. Setiap kali saya menangis mengenangkan nasib kami yang belum memiliki anak sendiri, dialah yang menjadi teman di sisi. Nasihat dan galakkannya berjaya mematahkan rasa putus asa dalam diri.
Selaku insan biasa, saya sedar emosi dan perasaannya turut terguris setiap kali melihat dan mendengar saya diajukan soalan yang dia sendiri tiada jawapannya. Saya tahu, suami juga mengimpikan tangisan anak.
Saya dan suami berkahwin sejak 30 Ogos 1998. Lima tahun pertama, saya masih belum mengandung dan dalam tempoh itu saya banyak menjalani kaedah tradisional untuk meningkatkan kesuburan dan kesihatan.
Saya benar-benar ingin memiliki zuriat dalam tempoh awal perkahwinan. Hati terasa bungkam bila mengetahui diri sukar mendapatkan zuriat kerana mengalami masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOs).
PCOs ialah satu sindrom ketidakseimbangan hormon yang berlaku ke atas wanita yang mempunyai ovari polisistik atau banyak sista kecil. Ia merupakan antara faktor yang menyebabkan seseorang wanita kurang subur.
Sindiran demi sindiran
Paling saya tidak tahan apabila soalan-soalan pedas yang langsung tidak menjaga perasaan dilontarkan sanak saudara terdekat; macam mana? Mandul lagi?
Walaupun dalam nada bercanda, tapi ia melekat di hati. Sampai suatu tahap, saya tidak boleh melihat bayi, tidak boleh dengar orang mengandung, tidak boleh dengar kisah orang bersalin dan tidak mahu keluar rumah berjumpa kawan-kawan. Saya hanya memencilkan diri kerana tidak sanggup lagi menerima soalan-soalan sebegitu.
Selepas lima tahun berikhtiar, saya kemudian ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk mencuba kaedah Intrauterine Inseminasi (IUI) iaitu kaedah mengasingkan sperma aktif daripada sperma yang kurang aktif untuk dimasukkan terus ke dalam rahim saya bagi memudahkan persenyawaan telur.
Ketika itu saya berjaya hamil 10 minggu namun keguguran kerana telur yang dikehendaki tidak sesuai. Kos IUI menelan belanja lebih RM2,000. Selepas kaedah IUI tidak berkesan saya cuba pula mencari informasi mengenai IVF.
Impian jadi nyata
Saya dan kawan telah ke Hospital Tropicana Medical Centre. Di sana, kami disarankan untuk membuat temu janji dengan Dr Surender Singh. Selain menghidap PCOS saya juga didapati mengalami cyst dalam ovari dan endometriosis di rahim.
Doktor sarankan untuk buat drilling atau lubang ke ovari juga pembedahan kecil mematikan cyst. Dalam masa sama, saya membuat pemeriksaan tiub fallopio untuk pastikan ia tidak tersumbat. Pemeriksaan ketika itu mendapati tiub fallopio saya sempit.
Kawan saya yang turut sama-sama menjalankan prosedur sama didapati hamil selepas rawatan itu. Tetapi saya tidak.
Ini menyebabkan saya memilih untuk menjalankan kaedah In Vitro Fertilization atau IVF, juga disarankan doktor. IVF adalah salah satu kaedah kehamilan yang popular dan diguna pakai di negara ini. Ternyata kaedah ini bersesuaian dengan saya dan
Alhamdulillah Imad Nasrullah lahir menyerikan perhubungan saya dan suami. Kini Imad sudah berumur tiga tahun.
Sebelum ini saya ada menyimpan telur dan bersedia untuk hamil lagi dengan kaedah sama. Malangnya prosedur tidak berjaya kerana ada sel-sel telur yang telah pun mati selepas disimpan selama tiga tahun. Apa pun, saya ingin kongsi kepada anda bahawa perjuangan saya untuk mendapatkan anak bukanlah sesuatu yang mudah.
Tapi saya yakin dengan doa yang saya selalu panjatkan kepada ALLAH, dan berkat usaha yang saya lakukan dengan suami akhirnya doa kami termakbul. Berikhtiarlah dengan berbagai-bagai-bagai cara dan pilihan. Mana tahu ada rezeki di penghujung nanti.
Dan kepada yang selalu memberikan semangat serta panduan. Terima kasih tidak terhingga. Semoga berolah manfaat di kemudian hari.
-- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment