Sunday 17 August 2014

Bekas ketua skuad kebangsaan meninggal dunia

IPOH - Bekas ketua skuad kebangsaan era 60-an dan 70-an Abdullah Yeop Noordin meninggal dunia akibat sesak nafas ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, awal pagi tadi.

Abdullah, yang berusia 74 tahun, meninggal dunia pada 2.05 pagi.

Allahyarham meninggalkan isteri Zoraida Kamaruzzaman, 71, serta lima anak iaitu Arnez, 49, Arneza, 48, Ariez, 47, Arieza, 43, dan Nor Azam, 38, serta 12 cucu dan empat cicit.

Arneza berkata jenazah bapanya dikebumikan pada 11.45 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tasek Bercham selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Tersusun Bercham Tasek.

Menurutnya bapanya mengalami batuk teruk ketika sedang menonton televisyen di rumahnya di Taman Gerbang Bercham Selamat di sini pada 12.30 tengah malam.

"Bapa saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun pemeriksaan baru-baru ini menunjukkan kedua-dua penyakitnya itu terkawal. Beliau hanya dirawat untuk batuknya baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata bapanya, yang juga merupakan Pengajar Kokurikulum Bola Sepak di Universiti Teknologi Petronas sejak 15 tahun lepas, mengalami batuk teruk sejak dua hari lepas sehingga menyebabkannya sukar bernafas.

Allahyarham, yang dahulunya digelar 'harimau berantai' kerana corak permainannya yang hebat, pernah berkhidmat seabgai Pegawai Sukan di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) selepas menjadi jurulatih pasukan Perak selama setahun pada 1988.

Abdullah pernah sepasukan dengan allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, allahyarham Datuk Muhammad Mokhtar Dahari dan mendiang R.Arumugam. - Bernama

No comments:

Post a Comment