Kerusi dan meja di ruang terbuka restoran McDonald’s Kerteh kosong.
KEMAMAN - Pendapatan restoran McDonald’s di Kerteh dan Dungun terjejas teruk selepas kempen boikot dibuat di perkarangan McDonald’s Dungun, kelmarin.
Pemilik francaisnya, Syed Hussain Tuan Embong berkata, pendapatan yang diraih kedua-dua restoran itu merosot kira-kira 80 peratus sejak dua hari lalu.
Lebih teruk katanya, tindakan agresif segelintir peserta demonstrasi di hadapan restoran di Dungun yang turut bertindak membaling batu ke arah premis itu mengakibatkan pekerja ketakutan dan ada yang mahu berhenti kerja.
“Saya tak boleh halang orang berkumpul kerana itu hak individu tapi saya kesal apabila ada yang melontar batu ke arah premis saya. Untuk elak berlaku kejadian tidak diingini, saya terpaksa kunci premis waktu itu.
“Sikap agresif peserta demonstrasi itu beri kesan kepada mental pekerja saya, ada antara mereka cakap nak berhenti kerja tapi alhamdulillah dengan nasihat yang diberi kakitangan bahagian sumber manusia, semangat pekerja yang ketakutan dipulihkan semula,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, insiden baling batu itu tidak menyebabkan kerosakan pada premisnya sebaliknya hanya bahagian belakang restoran menjadi kotor.
Jumlah pekerja di kedua-dua restoran miliknya itu adalah seramai 80 orang, dengan kesemuanya beragama Islam dan berbangsa Melayu.
“Saya harap kalau demonstrasi diadakan lagi selepas ini, janganlah ada antara peserta bertindak di luar kawalan kerana ia boleh timbulkan rasa takut kepada pekerja dan pelanggan.
“Sebagai orang Islam saya sendiri pun tidak suka apa yang dilakukan tentera Yahudi ke atas rakyat Palestin. Namun saya harap tindakan boikot biarlah rasional dan tidak menghukum tanpa usul periksa. Sebelum ini McDonald’s Kerteh dan Dungun juga banyak bantu anak
yatim dan anak istimewa. Jadi diharap selepas ini peserta demonstrasi lebih rasional,” katanya.
Ditanya mengenai desas-desus kononnya demonstrasi akan turut diadakan di McDonald’s Kerteh pada petang esok susulan kempen boikot McDonald’s di seluruh negara, Syed Hussain berkata, beliau masih belum terima maklumat isu itu.
“Kalau perkara ini betul saya akan pastikan keselamatan pekerja terjamin. Saya juga mungkin akan upah pengawal keselamatan untuk awasi premis selain membuat laporan polis untuk mengelakkan insiden baling terjadi di Kerteh,” katanya.
Dalam demonstrasi kelmarin, seramai 200 anak muda dari seluruh Dungun berhimpun sambil pegang sepanduk.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment