Friday, 8 August 2014

Bapa borek anak rintik


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - Gambar Fail


NASIB kita Labu. Ingatkan bila ada Pembangkang yang kuat, Kerajaan pun lebih terbuka, berjaga-jaga, telus dan lurus.

Rupa-rupanya dua kali lima. Walhasil balik asal, itu pasal tak hasil. Pembangkang pun sama. Baru dapat sikit saja kuasa, sudah naik tocang, hilang akal, rebut kuasa, kumpul harta.

Itulah gambaran yang terbit daripada krisis kepemimpinan Pakatan Rakyat di Selangor yang semakin keliru dan lucu.

Kerana perebutan kuasa dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berupa parti terkecil dalam PR Selangor, pekung di dada didedahkan.

Setelah gagal memujuk, mendesak dan mengasak Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim, mengundurkan diri, PKR kini mengancam menggunakan taktik gasak pula.

Daripada laporan media massa, nampaknya ada pihak dalam PKR yang bersedia mendedahkan pekung di dada semata-mata untuk menjatuhkan Abdul Khalid dan membuka jalan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi MB baru.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang berupa pengikut setia Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim, dilaporkan sebagai berkata parti itu akan mengemukakan “dosier” 40 muka mengenai dakwaan salah laku oleh Abdul Khalid kepada kepemimpinan tertinggi PR.

Rupa-rupanya pemimpin PR pun tidaklah sebersih kain putih seperti yang cuba mereka gambarkan setiap kali mereka membelasah BN.

Kalau betul dalam dokumen rahsia itu ada tuduhan salah laku oleh Abdul Khalid maka dalam almari PR pun ada rangka-rangka bergantungan!

Abdul Khalid Tiru Anwar?

Inilah nasib kita Labu. Walhasil balik asal, itu pasal tak hasil.

Apa yang Anwar buat, Abdul Khalid tiru. Kalau kita masih ingat, pada tahun 1998 pun Anwar enggan letak jawatan dan undur diri.

Jadi kita janganlah terperanjat kalau Abdul Khalid juga mengamalkan strategi yang serupa, iaitu menunggu disingkir dan bukan meletakkan jawatan. Bapa borek anak rintik.

Alasannya mudah saja. Kalau letak jawatan, beliau akan hanyut begitu saja dan akan ada orang yang percaya beliau telah melakukan sesuatu yang buruk seperti yang dibayangkan oleh Saifuddin.

Tetapi kalau beliau mempertahankan kedudukan dan dipecat, beliau akan dianggap hero oleh sesetengah pihak dan dihormati manakala yang lain pula menganggap beliau mangsa konspirasi dan memberi simpati.

Bayang-Bayang Yang Menggerunkan

Anwar sudah nampak “spectre” – bayang-bayang yang mengerikan – sekiranya hal ini terjadi apabila beliau menyebut mengenai kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan sebagai penyelesaian mutakhir.

Pilihan raya negeri boleh diadakan walaupun mungkin ada pihak membantah dan membawanya ke mahkamah. Tetapi dalam suasana sekarang adalah berbahaya bagi PR melaksanakan jalan penyelesaian itu.

Setelah kekecohan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, rakan-rakan kongsi PKR dan pengundi mungkin tidak mahu lagi diperkotak-katikkan oleh Anwar dan kelompoknya.

Inilah dilema PR Selangor sekarang. PAS yang berupa parti terbesar dalam DUN dan DAP (kedua terbesar) sedang diseret masuk ke dalam lanyau politik PKR yang berkisar di sekitar Anwar, keluarga dan pengikut tegarnya.

Kita telah lihat bagaimana kemelut dalam PKR menumbangkan kerajaan PR Perak pada tahun 2009 dan sekali gus membolehkan BN mengambil alih kuasa.

Cuma hal ini mustahil berlaku di Selangor kerana BN tertinggal terlalu jauh ke belakang untuk mengambil kesempatan. Ia adalah parti terkecil dalam DUN Selangor. Kalau PRN diadakan pun, BN belum tentu boleh memperbaiki prestasi dengan barisan kepemimpinan yang ada. BN Selangor memerlukan "overhaul" besar-besaran.

Inilah nasib rakyat Selangor Labu. Bila si Luncai terjun ke sungai dengan labu-labunya, kita tidak ambil kisah sangat. Yang dia bawa terjun itu labu-labu miliknya sendiri.

Tetapi kalau orang politik terjun ke sungai, kita perlu bimbang sebab labu-labu yang dibawanya itu adalah milik kita. Kitalah yang memberikan mereka labu-labu itu. Kalau mereka curi sekali pun, mereka curi daripada kita dan labu-labu curi itu tetap milik kita.

Wallahuaklam.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulisan ini pertama kali tersiar di blog The Scribe A Kadir Jasin, disiarkan di Astro Awani pada  8 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment