Monday 18 August 2014

13 diselamatkan dua hari selepas bot pelancong karam

Bot pelancong itu tenggelam pada Sabtu. - Foto AFP/Andy Amaldan

BIMA: Lapan rakyat asing dan lima warga Indonesia hari ini diselamatkan, dua hari selepas bot pelancong mereka karam dalam ribut.

Mereka terselamat dengan hanya berhimpit di dalam bot penyelamat atau terapung dengan jaket keselamatan.

Operasi itu menjadikan jumlah yang terselamat 23 orang termasuk 18 warga asing sejak bot itu karam pada Sabtu.

Sepuluh warga asing telah diselamatkan pada Ahad, termasuk pelancong dari New Zealand, Britain, Sepanyol, Belanda, Jerman dan Perancis.

Dua lagi warga asing hilang selepas bot itu karam di Sangeang, sebuah pulau kecil di timur Indonesia.

Mereka yang diselamatkan pada Isnin telah dijumpai pada awal pagi 100 kilometer di luar pantai pulau Sumbawa, dengan sesetengah mereka di atas bot penyelamat dan yang lain-lain memakai jaket keselamatan.

"Mereka semua dijumpai bersama, ada yang berada di dalam bot penyelamat dan ada yang terapung dengan jaket keselamatan kira-kira 100 kilometer di luar Sape di timur pulau Sumbawa," kata pegawai penyelamat, Budiawan.

Kata beliau, agensi mencari dan menyelamat di Pulau Lombok yang terletak di barat Sumbawa, sedang berada di pekan Sape.

"Operasi mencari diteruskan pagi tadi, dan ia melibatkan pihak tentera dan polis," katanya.

Menurut Budiawan, kewarganegaraan mangsa warga asing masih kurang jelas, namun lima mangsa warga Indonesia merupakan anak kapal dan pemandu pelancong. - AFP 

No comments:

Post a Comment