Sunday, 20 July 2014

MH17: Singapore Airlines mohon maaf atas status 'tidak sensitif'

Facebook Singapore Airlines

KUALA LUMPUR: Singapore Airlines (SIA) telah memohon maaf atas statusnya yang dimuatnaik di Facebook berhubung kejadian nahas pesawat MH17 milik Malaysia Airlines Khamis lalu, lapor The Straits Times.

Syarikat itu juga mengakui bahawa mereka sepatutnya lebih sensitif tentang perkara itu dan sedar status tersebut mungkin dilihat sebagai 'tidak sensitif' oleh sesetengah pihak.

"Kami sedar bahawa maklumat tersebut sepatutnya disampaikan dengan lebih baik dan kami dengan ikhlas memohon maaf jika ia telah mengguris hati pelanggan kami atau sesiapa sahaja dalam komuniti online," kata jurucakap mereka kepada The Straits Times.


Sejurus selepas berlakunya kejadian nahas MH17, SIA telah memuatnaik satu status di akaun rasmi Facebooknya yang berbunyi, "Pelanggan mungkin ingin ambil perhatian bahawa penerbangan Singapore Airlines tidak menggunakan ruang udara Ukraine."

Status tersebut telah mendapat kecaman orang ramai serta menganggapnya tidak patut dimuatnaik.

Bagaimanapun sejam kemudian, SIA telah muatnaik status baru dengan mengatakan ingatan mereka bersama dengan penumpang dan kru MH17 serta ahli keluarga yang terlibat.

Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, pada Khamis lepas selepas ditembak jatuh. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment