Sunday 8 June 2014

Sukar tentukan motif pembunuhan Siti Soffea - Polis

GAN: Polis juga tidak dapat mengaitkan suspek dengan bapa mangsa. -Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Polis sukar menentukan motif pembunuhan kejam Siti Soffea Emelda kerana tiada keterangan yang dapat mengaitkan ibu kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan itu dengan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata polis juga tidak dapat mengaitkan suspek dengan bapa mangsa.

"Oleh itu sukar untuk menjuruskan kepada penentuan motif pembunuhan kanak-kanak malang ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gan berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya minggu depan bagi menentukan tindakan lanjut.

Siasatan dibuat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian 29 Mei lalu, mayat Siti Soffea ditemui oleh orang awam kira-kira 9 malam dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Jalan Hishamuddin di sini.

Mayat suspek yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang selepas membunuh kanak-kanak itu ditemui terapung di sungai berhampiran plaza tol Sunway pada 31 Mei lepas. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment