Monday 9 June 2014

Proton akan tukar strategi - Dr M

MAHATHIR: Proton perlu buat keuntungan. Jika pengguna mahukan kereta murah, Proton akan keluarkan kereta murah. Ia bergerak tiga batu dan rosak.


KUALA LUMPUR: Proton kini menukar strateginya daripada pengeluar kereta murah kepada pengeluar kereta bertaraf dunia, kata pengerusi baharu Proton Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri keempat itu berkata Proton sentiasa dilabel sebagai pembuat kereta murah atau pengeluar kereta berkualiti rendah.

"Kini, Proton mahu mengeluar kereta bertaraf dunia, dan anda perlu membayar harga yang lebih tinggi. Anda tidak boleh dapat kereta yang baik dan membayar pada harga yang rendah," katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai rancangannya ke atas Proton.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia (HLAF) menyampaikan ucaptama dan melancarkan Anugerah Tahunan HLAF dan Bengkel di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata semasa Proton mengeluarkan model kereta Preve dan Suprima berkualiti tinggi namun dijual pada harga RM80,000, orang ramai mengatakan harganya terlalu mahal untuk kereta Proton.

"Kereta berikut dengan kualiti yang sama berharga RM120,000. Anda (pengguna) mahukan kereta murah, ok, Proton akan mengeluarkan kereta murah," kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada Proton akan terus mengeluarkan kereta murah, Dr Mahathir menjawab: "Proton perlu membuat keuntungan. Jika pengguna mahukan kereta murah, Proton akan mengeluarkan kereta murah. Ia bergerak tiga batu dan rosak."

Mengulas sama ada Proton sudah didatangi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Petronas untuk menawarkan dana, beliau berkata Proton tidak pernah meminta dana.

Ditanya sama ada beliau sendiri selaku pengerusi Proton akan menemui mereka untuk mendapatkan dana, Dr Mahathir menjawab: "Tidak sama sekali."

"Ini disebabkan Proton ialah syarikat swasta dan ia mampu membuat kemajuan dalam penyelidikan dan pembangunan," katanya.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan kini menggalakkan import kereta daripada menggalakkan industri tempatan.

"Bila anda import kereta, wang mengalir keluar dan anda tidak dapat sebarang teknologi daripadanya," katanya.

Ditanya sama ada Proton memerlukan bantuan kerajaan, beliau berkata semasa tempoh perkhidmatan bekas presiden Korea Selatan Park Chung Hee, beliau memanggil 12 individu dan meminta mereka membuka industri, dan beliau akan menyediakan pinjaman dan dana.

Mereka adalah syarikat swasta seperti Hyundai, LG dan Daewoo. Semuanya syarikat swasta dan kerajaan (Korea Selatan) membantu mereka sepenuhnya.

Hasilnya, mereka (syarikat-syarikat Korea Selatan) tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan, kata Dr Mahathir.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment