Monday 9 June 2014

Kos fasa pertama SAR MH370 RM27.6 juta: Hishamuddin

Hishammuddin: Kos fasa pertama cari pesawat RM27.6 juta


KUALA LUMPUR: Malaysia telah menanggung kos RM27.6 juta setakat ini di dalam fasa pertama operasi mencari dan menyelamat pesawat penerbangan Malaysia MH370 yang hilang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kos ini adalah untuk keperluan logistik anggota keselamatan negara, dimana sebahagian besarnya dibelanjakan untuk bahan api dan makanan.

"Kos tersebut digunakan untuk pembiayaan awal bagi menggerakkan aset milik kerajaan Malaysia dan tentera dari segi kos bahan api (minyak), makan dan minum pasukan pencarian," katanya semasa satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Hishammudin berkata anggota keselamatan negara yang terlibat dengan operasi itu terdiri daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau berkata, kos berkenaan adalah kecil jika dibandingkan dengan kos yang dikeluarkan negara lain untuk menggerakkan aset dan keperluan logistik yang menelan belanja lebih RM73.5 juta (AS$23 juta).

Hishammuddin berkata terdapat beberapa negara lain yang menangung kos mereka sendiri.

Beliau menambah kos keseluruhan untuk operasi itu belum dimuktamadkan lagi.

Sebelum itu, Hishammuddin, semasa sesi soal jawab di dalam Parlimen, berkata operasi mencari pesawat tersebut telah memasuki fasa transisi dengan memberi keutamaan kepada pencarian di bawah permukaan laut.

“Semasa fasa transisi ini, tiga aktiviti utama sedang dan akan dijalankan termasuk analisis semula data untuk menentu sahkan kawasan pencarian yang lebih tepat, menjalankan bathymetric survey yang melibatkan kerja-kerja mapping dasar laut dan memperoleh perkhidmatan aset-aset terkini yang mempunyai keupayaan side scan sonar bagi mencerapkan keseluruhan kawasan pencarian laut dalam yang ditetapkan,” katanya.

Hishammuddin menambah pasukan penyiasat antarabangsa yang ditubuhkan pada 25 April lalu akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan mereka termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam seluruh dunia.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment