Monday 9 June 2014

J-Lo tarik diri tiga hari sebelum upacara pembukaan Piala Dunia

J-Lo tarik diri daripada terlibat di upacara pembukaan Piala Dunia


SAO PAULO: Bintang popular Jennifer Lopez menarik diri dari terlibat dalam persembahan pembukaan Piala Dunia di Brazil yang hanya tinggal tiga hari sahaja lagi, kata FIFA pada Ahad.

Lopez yang merakamkan lagu tema Piala Dunia bertajuk "We Are One" bersama Pitbull dan penyanyi dari Brazil Claudia Leitte dijadual akan membuat persembahan bersama di upacara pembukaan di Sao Paulo.

"Atas sebab-sebab produksi, Jennifer Lopez, salah seorang artis yang menyanyikan lagu tema "We Are One" tidak akan membuat persembahan di upacara pembukaan Piala Dunia FIFA," dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Persembahan berdurasi 25 minit itu akan melibatkan 600 artis termasuk gimnas akrobatik, persembahan seni mempertahankan diri capoeira dan pejalan kaki jangkungan.

Acara kemuncak pada upacara itu adalah persembahan lagu tema "We Are One" tanpa Lopez dengan diiringi pemain drum Brazil, Olodum.

Penyanyi rap Pitbull berkata penarikan diri J-Lo tidak akan menjejaskan semangat beliau.

"Untuk mempersembahkan "We Are One" kepada dunia terutamanya di sebuah negara indah seperti Brazil akan memberikan lebih keseronokan. Lebih daripada ini, ia akan menunjukkan kepada dunia bahawa muzik adalah bahasa sejagat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FIFA.

Lopez turut terlepas peluang pada satu acara yang diadakan Januari lalu bila mana Pitbull dan Leitte mendedahkan perancangan terhadap lagu tersebut.

Lebih 60,000 penonton akan berada di Corinthians Arena di Sao Paulo bagi menyaksikan upacara pembukaan itu dan perlawanan pembukaan antara Brazil dan Croatia.

Lebih satu bilion penonton dijangka menyaksikan upacara itu secara langsung di seluruh dunia.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment