Sunday 15 June 2014

MH370: 100 hari berlalu, apa yang telah kita pelajari?

Apa yang telah dipelajari daripada tragedi atau misteri MH370 ini?


KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 telah melahirkan ribuan teori konspirasi, keraguan dan persoalan. Dari awal berita kehilangan penerbangan MH370 diketahui, 100 hari yang lepas, bukan sedikit warga dunia yang masih tertanya-tanya, ke manakah perginya pesawat itu?

Apa yang sebenarnya berlaku kepada semua penumpang? Bagaimanakah kehidupan ahli keluarga dan sahabat-handai mereka yang terlibat dalam menghadapi hari-hari tanpa ketentuan ini?

Sudah 100 hari berlalu, namun misteri kekal misteri.

Bagaimanapun, disebalik misteri, ribuan persoalan, spekulasi dan teori yang diutarakan, terdapat satu jawapan yang pasti kepada persoalan ini: apa yang telah dipelajari daripada tragedi ini?

Sokongan mungkin perlu berubah namun tidak perlu berakhir

Bagi Dr Haryati Abdul Majid, seorang anggota exco MERCY Malaysia, yang mengetuai pasukan bantuan, beliau percaya bahawa penyediaan perkhidmatan kaunseling yang memenuhi keperluan individu-individu yang terlibat dalam kejadian ini adalah sesuatu yang paling penting.

Menyedari perkara ini, pihak MERCY Malaysia telah menjalankan penilaian keperluan yang teliti sebelum menawarkan perkhidmatannya untuk lebih memahami perasaan mereka yang terlibat, bagaimana mereka mungkin terjejas, dan apakah bentuk sokongan yang harus diberikan kepada mereka yang memerlukannya.

Dengan tumpuan utama untuk menyediakan sokongan psikologi, teknik pengurangkan kebimbangan dan bantuan dari segi sokongan emosi seawal pada minggu pertama (selepas kehilangan).

Haryati memahami bahawa anak-anak kapal bahagian kabin juga memerlukan sokongan, sama seperti ahli keluarga yang terlibat supaya dapat meneruskan tanggungjawab profesional mereka. Anak-anak kapal ini juga merupakan antara yang paling rapat dengan rakan sejawatan mereka yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Kini,100 hari selepas kejadian itu, kami faham bahawa jenis sokongan yang kami sediakan harus berubah. Sokongan kini perlu tertumpu dalam membina kapasiti, untuk memastikan bahawa mereka yang terjejas mempunyai keupayaan untuk meneruskan hari-hari mereka dengan menggerakkan kekuatan yang ada bagi menangani apa sahaja krisis yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Dan saya yakin, dengan kekuatan psikologi yang MERCY tawarkan, telah membantu mereka untuk terus tabah melalui cabaran yang ramai tidak menghadapinya. "


Pengetahuan dan kemahiran adalah kunci kekuatan

Selepas tiga bulan menghadapi pelbagai cabaran yang muncul daripada tragedi ini, rakyat Malaysia pelajari bahawa daya tahan psikologi masyarakat dan negara, sangat bergantung kepada bagaimana kita menghadapi krisis.

Oleh itu, ia merupakan tanggungjawab seluruh masyarakat untuk memberi sokongan dan sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang terlibat.

Tambah Haryati, “kita perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran yang sewajarnya untuk menangani kejadian yang tidak diduga, kita perlu belajar secara objektifnya cara menilai informasi dan kita perlu beretika dalam cara kita menyampaikan maklumat supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dan memberatkan lagi bebanan yang ditanggung mereka yang terlibat”

Komunikasi krisis berkesan diperlukan dalam masa krisis

Dalam keadaan yang tertekan, terutama sekali bagi tragedi 8 Mac ini, perhatian dunia tertumpu kepada cara kerajaan mengurus dan merancang cara-cara menangani krisis.

Manminder Kaur Dhillon, pakar komunikasi yang juga pemenang Anugerah Emas bagi ‘Excellence in Public Relations- Crisis Communications 2013’berkata syarikat Malaysia Airlines telah berjaya menangani aspek komunikasi di waktu krisis dengan berkesan, namun ianya tidak begitu bagi pihak kerajaan Malaysia.



Menurut Manminder, berikut ialah apa yang kita boleh pelajari daripada tragedi ini:

Pelan Krisis Kebangsaan- Kita perlu belajar daripada insiden ini dan mewujudkan satu pelan komunikasi krisis negara yang strategik yang sentiasa diuji, supaya apabila berhadapan dengan sebarang krisis, kita boleh mengaktifkan pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar terlatih dalam komunikasi krisis untuk menguruskan media dan semua pihak yang berkepentingan.
Terlalu banyak jurucakap-ini adalah mengapa kita perlu (a). Apabila agensi seperti polis dan imigresen terlibat, DCA, tidak ada keperluan untuk mengadakan sidang media dan lebih teruk lagi apabila bercanggah antara satu sama lain. Tidak perlu adakan sidang akhbar jika tiada kemajuan atau jawapan atau kukuh.
Alat bantuan visual semasa sidang akhbar dapat membantu media dan umum dalam memahami krisis yang mempunyai terlalu banyak fakta danjargon.
Pengetahuan pakar: Malaysia mempunyai agensi PR bertaraf dunia dan pakar-pakar dalam hal-hal tertentu, mengapa tidak menggunakan mereka? Kita juga harus mempunyai JCCC (Pusat Penyelarasan Bersama Komunikasi), Kementerian Pengangkutan, PDRM, Imigresen Malaysia, DCA, juga agensi luar negara yang boleh melaras aspek komunikasi.
Menguruskan media-mengapa media asing telah diberikan lebih keutamaan? Media nasional sepatutnya diberi keistimewaan untuk menemubual PM, menemubual Menteri Pengangkutan Pemangku dalam misi mencari dan menyelamat. Adakah kerajaan tidak merasakan media nasional penting? Media Malaysia ini boleh membantu dengan menerajui usaha untuk memadamkan laporan spekulatif oleh akhbar asing.Tambah Manminder, “Kita telah mengharungi lautan bergelora dan kini kita sepatutnya dapat berkongsi pengajaran dan pedoman yang diperolehi dengan negara lain.”


Kesabaran kunci utama kejayaan

Dengan kawasan carian yang amat luas dan dengan penglibatan 26 buah negara, negara kita bukan sahaja menghadapi mimpi ngeri secara diplomatiknya tetapi juga cabaran memegang kepada janji-janji yang telah dibuat untuk mencari pesawat yang hilang.

Kapten John M. Cox, Ketua Pegawai Eksekutif dan pakar keselamatan penerbangan dengan Safety Operationg Systems, sebuah firma perunding penerbangan di Washington DC berkata, setakat ini, MH370 adalah salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan.

Cox berkata bahawa sejarah telah mengajar kita bahawa setiap pesawat yang hilang akan ditemui dan salah satu pelajaran yang paling penting dalam misteri ini ialah sememangnya kesabaran.

"Boeing 777 mempunyai rekod keselamatan yang hebat, penerbangan itu di bawah pengawasan seorang Kapten berpengalaman, dan dikendalikan oleh syarikat penerbangan yang berkualiti tinggi, bagaimana boleh misteri seperti itu berlaku? Persoalan yang masih tidak terjawab, dan akan kekal tidak terjawab sehingga kita mencari bangkai dan menganalisis perakam. "

Tambahnya, teori-teori konspirasi atau mana-mana teori-teori lain yang dicadangkan oleh umum, langsung tidak membantu usaha mencari. Kebenaran hanya akan terbongkar dengan penemuan kapal terbang itu.

Cox menambah, "Banyak yang telah dipelajari melalui tragedi ini. Kita mempunyai teknologi baru dari Inmarsat, yang kini telah menawarkan untuk mengesan kapal terbang di bahagian-bahagian terpencil di dunia untuk kos yang sangat rendah. Kita telah melihat negara-negara bekerjasama dalam menghadapi tragedi dengan dedikasi pernah berlaku sebelum ini. Kita telah melihat sebuah pasukan pelbagai negara menapis data bagi mendapat kata sepakat. Akan ada lebih banyak pengajaran .... kita perlu bersabar untuk melihat kebenaran yang wujud disebalik tragedi ini"

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment