Sunday 15 June 2014

Aktres Bollywood Preity Zinta buat laporan polis dakwa dicabul teman lelaki

Preity hanya ingin melindungi diri beliau


NEW DELHI: Pelakon popular Bollywood Preity Zinta telah memfailkan satu laporan polis mendakwa dia telah dicabul, didera dan diugut oleh bekas teman lelakinya pada satu perlawanan kriket Liga Perdana India (IPL), kata seorang pegawai polis hari ini.

Preity menuduh ahli perniagaan Ness Wadia, pemilik bersama pasukan IPL Kings XI Punjab, mendera dan mencabulnya selepas pasangan itu bergaduh ketika menyaksikan pasukan mereka menentang Chennai Super Kings pada 30 Mei.

"Kami menerima aduan Preity pada hari Jumaat," kata pegawai polis Mumbai Vijay Mane kepada pemberita.

"Beliau (Preity) melaporkan bahawa kedua-dua mereka duduk bersama di stadium Wankhede Mumbai pada 30 Mei sebelum bertelingkah mengenai sesuatu perkara. Selepas itu Preity mendakwa telah diugut, ditolak dan dilemparkan dengan kata-kata kesat,” kata Vijay.

Preity turut mengeluarkan kenyataan pada hari Sabtu menyifatkannya insiden itu sebagai "satu tempoh yang sukarbuatnya".

"Niat saya bukan untuk melukakan hati sesiapa, tetapi hanya untuk melindungi diri saya sendiri," kata kenyataan itu, menurut agensi berita Press Trust of India.

Ness juga mengeluarkan kenyataan media menyatakan beliau "terkejut" dengan dakwaan terhadapnya itu dan berkata "dakwaan terhadap saya adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas".

Pesuruhjaya Polis Mumbai Rakesh Maria berkata siasatan sedang dijalankan.

"Kami akan merekodkan kenyataan-kenyataan saksi," Rakesh memberitahu saluran berita CNN-IBN.

Ness adalah pewaris kumpulan Wadia, satu konglomerat India dengan kepentingan perniagaan termasuk dalam hartanah, tekstil dan syarikat penerbangan bajet rendah.

Dia dan Preity telah memutuskan hubungan yang dijalin selama lima tahun pada tahun 2009. Walau bagaimanapun mereka terus menjadi rakan kongsi perniagaan, menurut media tempatan. - Agensi 

No comments:

Post a Comment