Thursday 5 June 2014

JPN tiada kuasa pinda status agama dalam kad pengenalan

Johann Noordin seorang Islam mengikut rekod JPN

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan ia tidak mempunyai kuasa untuk meminda status agama Islam dalam kad pengenalan mana-mana warganegara yang rekodnya pada jabatan itu disahkan sebagai beragama Islam tanpa sebarang pengesahan sebaliknya daripada Mahkamah Syariah.

Menurut JPN, sekiranya mana-mana individu mendakwa dirinya bukan beragama Islam tetapi rekod di jabatan itu mengesahkan beliau Islam, keputusan untuk meminda status itu adalah terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Jabatan Pendaftaran Negara bukanlah agensi yang memutuskan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam," kata jabatan itu dalam sepucuk surat kepada Astro AWANI.

Kenyataan JPN itu adalah maklumbalas kepada aduan Johann Lim Noordin yang disiarkan oleh Astro AWANI pada 19 Mei lalu.

Lelaki yang didaftarkan dengan nama Johann Lim Noordin bin Billy Noordin itu mendakwa beliau tidak pernah menganut agama Islam dan mahu status agama Islam pada kad pengenalannya ditukar. Beliau mendakwa sudah mengemukakan permohonan kepada JPN sejak tiga tahun lalu.

"Kalau mahu saya bawa 100 saksi bahawa saya bukan Muslim, saya akan bawa. Kalau mahu saya bawa 200 saksi yang melihat saya ke tokong Buddha dan bersama, saya akan bawa. Kalau mahu saya bawa 500 saksi yang nampak saya makan makanan tidak halal, saya akan bawa.

"Hakikatnya ialah saya bukan seorang Islam, tidak pernah lahir sebagai Islam atau tidak memeluk agama Islam. Saya tidak pernah menganut agama Islam," katanya dalam surat kepada JPN yang dikongsikan kepada media baru-baru ini.

(If u want me to produce 100 witness that will say i m not a muslim, i will produce. If you want me to produce 200 witness that seen me go to Buddhist temples and pray, i will produce. If you want me to produce 500 witness that seen me eat non halal food items, i will produce. The fact remains is this, I m not a muslim, nor born a muslim, nor converted a muslim. I was never a muslim to begin with!)

Dalam maklumbalasnya, JPN mengaku telah menerima permohonan Johann sejak tiga tahun lalu. Mengikut rekod jabatan juga, ibu lelaki itu berketurunan Cina dan beragama Buddha manakala bapanya berketurunan India dan beragama Islam. Johann pula didaftarkan sebagai berketurunan India dan beragama Islam.

JPN menjelaskan Johann tidak pernah mempersoalkan status agama Islam pada kad pengenalannya yang dikeluarkan sejak beliau berumur 18 tahun pada 28 Februari 2002. Beliau hanya mempersoalkannya apabila membuat permohonan untuk meminda status agama daripada Islam kepada Buddha pada 11 Oktober 2011.

Johann sebelum itu juga ada membuat pertanyaan kepada JPN melalui emel pada 28 September 2011. Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara ketika itu telah menasihati Johann supaya mendapatkan surat pengesahan daripada pejabat agama Islam yang berhampiran.

Dalam permohonannya, Johann mengemukakan sepucuk surat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang menyatakan nama beliau tiada dalam senarai pemeluk agama Islam di negeri itu dan oleh itu jabatan berkenaan "tidak dapat mengesahkan status agama beliau".

"Berdasarkan kedudukan di atas, maka Jabatan ini tetap menganggap Encik Johann Noordin bin Billy Noordin adalah beragama Islam," kata kenyataan JPN kepada Astro AWANI.

JPN bagaimanapun telah menasihatkan pemohon supaya mendapatkan keputusan daripada Mahkamah Syariah berhubung status agamanya dan jabatan itu "akan mematuhi apa saja keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah".

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment