“SAYA bukan tertipu sekali tetapi dua kali. Lebih memalukan saya ditipu oleh orang yang sama!” kata seorang pemandu bas sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Yusof, 60.
Dia berkata, walaupun sudah 15 tahun berlalu, pengalaman hitam itu tak mungkin dilupakan kerana dia kerugian sebanyak RM28,000 selepas ditipu seorang ejen hartanah yang kononnya boleh menguruskan pembelian dua lot tanah di kawasan Jeram, Kuala Selangor.
Yusof berkata, ketika itu dia berhasrat membeli tanah-tanah itu untuk kedua-dua anak perempuannya. Menurutnya, pada 1999, dia pergi ke pejabat ejen terbabit di Sungai Sembilang yang terletak berdekatan Jeram.
Ketika itu dia langsung tidak berasa ragu atau bimbang kerana yakin ejen terbabit adalah ejen sah, tambah lagi di pejabat terbabit mempunyai kelengkapan komputer, selain terdapat seorang kerani.
“Perwatakan serta tutur kata lelaki itu (ejen) sangat mesra dan meyakinkan. Dia meminta saya mengisi beberapa dokumen berkaitan pembelian dua lot tanah berjumlah RM25,000.
“Pembayaran saya buat secara ansuran menerusi akaun bank selama tiga tahun. Sebelum itu, ejen terbabit turut membawa saya ke tapak tanah yang kononnya bakal menjadi milik saya dan ketika itu tanah-tanah berkenaan masih dipenuhi dengan semak samun,” katanya.
Yusof berkata, selepas semua bayaran tanah selesai, dia menghubungi ejen itu untuk mendapatkan geran serta menukar nama, namun lelaki terbabit gagal dihubungi. Katanya, pejabat ejen itu di Sungai Sembilang juga sudah tidak wujud. Ketika itu dia sedar sudah ditipu.
“Pada 2003, saya terserempak dengan ejen terbabit ketika menghadiri kenduri kahwin di Klang, dia hanya berlagak biasa dan memberitahu akan ke rumah saya untuk berbincang soal penukaran nama tanah yang dibeli saya sebelum ini.
“Saya sendiri pelik kenapa saya langsung tidak berasa marah, malah ketika dia meminta duit tunai sebanyak RM3,000, kononnya untuk proses penukaran nama, saya serahkan kepadanya tanpa ragu,” katanya.
Yusof berkata, ejen itu sekali lagi menghilangkan diri dan apabila dia pergi ke tapak tanah tersebut, tanah itu sudah ditanam kelapa sawit. Katanya, setelah diperiksa mendapati tanah itu sebenarnya milik orang lain. Dia terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya tertipu untuk kali kedua.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti Yusof? Ini hanya satu contoh daripada ribuan kes berkaitan penipuan jual beli tanah. Ikuti kupasan lanjut berhubung tajuk modus operandi kali ini.
Faktor mangsa ditipu
Mudah terpengaruh dengan tawaran harga tanah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Tidak mengetahui prosedur sebenar urusan jual beli tanah.
Tidak merujuk atau mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga.
Terlalu mempercayai suspek.
Modus operandi
Terdapat beberapa modus operandi yang lazim digunakan:
1. Mangsa beli tanah daripada suspek dan buat pembayaran penuh. Namun setelah melihat tanah tersebut mendapati tanah itu milik orang lain.
2. Suspek akan berpura-pura hendak jual tanah dan tawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran kepada mangsa.
3. Suspek kemukakan geran tanah sebagai bukti dan minta mangsa buat pembayaran tunai.
4. Mangsa sedar ditipu apabila geran tanah diberi sebenarnya palsu apabila diperiksa di pejabat tanah.
5. Suspek akan jumpa mangsa untuk bincang tentang peluang-peluang perniagaan dan tender, sebelum ajak berkongsi beli tanah yang kononnya boleh dijual dengan harga lebih tinggi dan seterusnya berkongsi keuntungan.
6. Setelah mangsa serahkan wang, suspek menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
7. Suspek berpura-pura untuk beli tanah dan minta mangsa keluarkan wang simpanan kononnya untuk mengelakkan cukai.
8. Suspek kemudiannya melarikan wang pengadu.
9. Suspek buat perjanjian untuk jual tanah kepada mangsa dan minta bayar wang pendahuluan. Namun apabila mangsa hendak selesaikan semua bayaran, suspek jual tanah itu kepada orang lain.
10. Tukar hak milik tanah secara tidak sah dengan menggunakan identiti pihak ketiga serta memalsukan maklumat peribadi.
11. Mangsa beli tanah dari suspek dan buat pembayaran penuh, sebelum dapati keluasan tanah tidak sama seperti yang dikemukakan dalam geran.
Tip elak jadi mangsa
Jangan terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan.
Bersikap lebih hati-hati ketika menjalankan urus niaga tanah kerana penipuan seperti ini tidak menyasarkan golongan tertentu.
Orang ramai khususnya masyarakat luar bandar perlu meningkatkan pengetahuan dan maklumat mereka bagi mengelak menjadi mangsa tipu.
Jika berasa ragu-ragu jangan teruskan urus niaga. Rujuk pihak yang berkaitan atau dapatkan nasihat daripada pihak ketiga.
Siasat terlebih dahulu latar belakang penjual atau individu yang menguruskan penjualan termasuk tanah yang hendak dibeli.
Jangan menandatangani sebarang perjanjian/dokumen sebelum membuat semakan atau menyerahkan wang mahupun harta sebagai cagaran/deposit.
Tip ketika berurusan jual beli tanah
Jangan percaya kepada seseorang berdasarkan penampilan mereka. Layan mereka seperti penjual dan anda sebagai pembeli. Kedua-dua hak perlu dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian.
Pastikan anda mempunyai keterangan terperinci penjual seperti nama penuh, alamat tempat tinggal, salinan MyKad
Kaji tempoh masa yang diambil dalam urusan jual beli tanah untuk dimasukkan dalam perjanjian jual beli (S&P).
Pastikan anda mendapat resit yang perlu ditandatangani oleh penjual dan pembeli semasa membuat bayaran. Resit tersebut perlu ada butiran nama pembayar dan penerima, nombor Mykad, jumlah bayaran dan butiran maklumat tanah.
Sentiasa peka dengan janji pihak penjual yang terkandung dalam S&P. Disarankan buat follow-up dari semasa ke semasa.
Jika berurusan dengan kakitangan pejabat tanah atau pejabat daerah,anda perlu dapatkan khidmat peguam kerana pelbagai perkara yang tidak dijangkakan boleh berlaku.
Jika berurusan dengan orang luar, anda boleh buat S&P yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Buat semakan harga pasaran tanah termasuk selidik ketulenan maklumat serta butir geran tanah yang hendak dibeli.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber: www.yahoo.com, www.google.com, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Sinar Harian
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment