Thursday, 17 April 2014

Harta karun sebenar Melaka


MELAKA: Seperti dalam filem dan cerita bertemakan harta karun, pastinya akan timbul konflik, perbalahan dan sumpahan.

Biarpun dakwaan penemuan harta karun di Pulau Nangka dilihat sebagai sesuatu yang baik, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bimbang konflik yang bakal mendatang sekiranya harta peninggalan lama itu berjaya dikeluarkan.

Antara persoalan yang pasti timbul ialah dakwaan pelbagai pihak sebagai waris dan menuntut hak terhadap harta terbabit.

"Kalau mereka berjaya bawa keluar pun pihak mana nak beli harta karun tersebut? Apa bentuk sekuriti yang perlu ada sekeliling mereka? Bagaimana cara mereka berurusan dengan pihak berkuasa dan sebagainya? Ianya akan jadi daripada mengharapkan nikmat keberuntungan kita khuatir nanti akan dapat bala perbalahan dan pertengkaran." kata Idris.

Dasar kerajaan negeri berhubung penemuan harta karun termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan yang mana bukan sahaja kerajaan negeri, tetapi kerajaan persekutuan juga mempunyai hak ke atas harta berkenaan.

Apa yang pasti, berita mengenai penemuan harta karun Pulau Nangka yang terletak kira-kira 4km dari pulau utama negeri iaitu Pulau Besar, berjaya menarik perhatian ramai dan Idris berharap ia dapat diterjemahkan menjadi tarikan pelancong ke negeri itu.

Biarpun kerajaan negeri Melaka tidak meletakkan harapan tinggi terhadap penemuan sebarang harta karun di pulau itu namun pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak yang berminat mencari harta yang didakwa bernilai berbilion ringgit itu.

Difahamkan pencarian harta karun berkenaan dikhabar dilakukan secara senyap sejak 30 tahun lalu bagaimanapun sehingga kini ia gagal membuahkan hasil.

"Jika mereka yakin percaya jika harta karun tersembunyi silakan kerana ia tidak membawa kelemahan kepada kerajaan negeri jika jadi kenyataan akan sumbang kepada pembangunan ekonomi kerajaan negeri. saya dikhabarkan memang ada harta karun itu sejauh kepada pihak mana terserah gali keluarkan harta karun dan saya pun tak berapa pasti dari mana datangnya harta karun itu." kata Idris.

Penemuan harta berkenaan kemungkinan dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul khususnya berhubung pemilikan harta berkenaan sekaligus melengkapkan sejarah peninggalan melaka yang tidak diketahui umum.

Bagaimanapun Ketua Menteri itu menegaskan kerja-kerja galian untuk mencari 'harta karun' itu perlu dilakukan sebaiknya.

"Saya saran kerja pengalian mengeluarkannya mesti mematuhi syarat ditetapkan akta dan undang-undang tidak dibenarkan sewenang-wenangnya merosakkan alam sekitar seperti tebang pokok, memecah batu secara letupan dan kena lakukannya mengikut kaedah yang dibenarkan termasuk Jabatan Alam Sekitar Mineral dan sebagainya." kata Idris.

Sehingga kini hanya dua syarikat eskavasi diberi kebenaran cari gali dan kedua syarikat terbabit diberi tempoh enam bulan untuk menyelesaikan kerja penggalian.

Sekiranya gagal, syarikat lain akan diberi peluang untuk mengambil alih.

Dalam pada itu, Idris melihat harta karun sebenar Melaka adalah kepesatan pembangunan negeri itu.

Biarpun kerja-kerja penggalian sedang giat dilakukan untuk mencari harta karun yang dikatakan tersembunyi di Pulau Nangka, Melaka, namun fokus utama kerajaaan negeri adalah meneruskan kegemilangan Melaka menerusi pembangunan lestari.

Ini kerana bagi Idris, harta harun sebenar adalah melihat secara nyata hasil pembangunan dan pembesaran melaka yang cukup pesat dalam tempoh dua dekad ini.

Antaranya kejayaan melaka menambak kawasan laut yang sehingga berkeluasan 4000 hektar dan tumbesaran secara fizikal itu merancakkan lagi pembangunan Melaka.

"Saya merasakan apabila berlaku pembangunan pesat seperti Melaka Gateway, Admiral City, Hatten Square, Lion Group dan sebagainya. Mereka datang dalam pembangunan nyata dan ini sebenarnya harta karun atau 'Treasures of Malacca' yang perlu dipelopori dalam bentuk minat untuk melabur besar-besaran dan hasilnya dipulangkan kepada rakyat negeri Melaka." kata Idris.

Namun sebagai negeri yang tersenarai sebagai warisan dunia oleh UNESCO, Melaka mempunyai tanggungjawab memelihara warisannya menerusi pembangunan lestari.

"Kita sedar kalau kita tidak kekalkan elemen warisan tersebut kita bakal kehilangan dan kerugian hasil daripada ketidakhadiran pelancong secara berulang datang ke Melaka. Berat mata pihak lain memandang sebenarnya berat lagi kerajaan negeri memelihara peninggalan warisan dunia untuk dipanjangkan kepada anak cucu kita pada masa hadapan." kata Idris.

Dalam pada itu, Idris turut memberi jaminan di samping pembangunan pesat, kerajaan negeri akan mengekalkan unsur pembangunan sedia ada dan menawarkan tapak lain sebagai pengekalan kehijauan dalam bandaraya bersejarah itu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment