Thursday 17 April 2014

'Boleh ambil air bawah tanah tetapi...'

Datuk Seri G. Palanivel
Datuk Seri G. Palanivel


KUALA LUMPUR - Pengambilan air bawah tanah sebagai sumber air alternatif boleh dilaksanakan, jika ia dilakukan dengan kaedah yang betul dan tidak menjejaskan alam sekitar, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.

Katanya sebelum sumber air bawah tanah dikeluarkan, kajian yang komprehensif mesti dilaksanakan, melibatkan ujian pengepaman untuk tempoh yang panjang bagi menentukan kadar hasil selamat telaga berkenaan.

"Kementerian saya melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah lama terlibat mengkaji potensi sumber air bawah tanah negara malah beberapa lembangan air tanah yang dikaji menunjukkan potensi yang tinggi.

Contohnya adalah Lembangan Kelantan, Lembangan Langat dan Lembangan Muar dan kami juga telah membangunkan banyak telaga pengeluaran air (bawah) tanah lengkap dengan sistem penapisan ringkas, kebanyakannya di Sarawak dan Sabah bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di perkampungan terpencil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), yang juga satu agensi di bawah kementeriannya telah menjalankan kajian potensi pembangunan sumber air alternatif dengan menggunakan kaedah susupan tebing sungai di Jenderam Hilir, Kuala Langat dan Hulu Langat namun kajian ini akan dikembangkan di beberapa kawasan lagi dalam menentukan tahap keberkesanannya.

Selain itu, JMG telah melakukan kajian dan penyiasatan sumber air bawah tanah di Selangor, terutamanya di Lembangan Sungai Langat serta telah menyiapkan model pengepaman dan pengurusan sumber itu di kawasan Olak Lempit.

Manakala di Lembah Klang dan Lembah Bernam, telaga-telaga eksplorasi air bawah tanah telah dibina untuk penilaian sumber ini sementara pemantauan pengekstrakan air bawah tanah oleh pihak-pihak persendirian terutamanya untuk sektor industri dilaksanakan bersama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) di seluruh Selangor bagi menjamin tiada pengepaman berlebihan berlaku.

Sementara itu, Penyelidik Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Noorul Hassan Zardari berkata, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) telah melaksanakan kajian yang menunjukkan kadar hasil selamat untuk mengekstrak air bawah tanah di Malaysia adalah sebanyak enam bilion meter padu setahun.

"Kadar itu adalah sama dengan 16,438 JLH (juta liter sehari) namun jumlah air semasa yang digunakan di negara adalah 13,216 JLH, kurang daripada jumlah hasil selamat air bawah tanah di Malaysia.

"Dalam kata lain, ia boleh dikatakan bahawa jumlah permintaan air tawar di Malaysia boleh dipenuhi dengan menggunakan air bawah tanah ," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment