KUALA LUMPUR: “Kali terakhir saya berkomunikasi dengan dia pada pagi Sabtu,” jelas Zainun Zainariah Yunus, ibu kepada Muhammad So’rich yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.
“Saya agak-agak dalam pukul 12 tengah hari dia dah selesai cuci surau, jadi saya tunggu dia di sekolah, tapi sebaliknya, cikgu beritahu, So’rich tidak hadir ke sekolah hari tu,” cerita Zainun kepada Astro AWANI ketika ditemubual di kediamannya di sini.
Zainun menceritakan, anaknya keluar dari rumah pada pagi Sabtu untuk ke sekolah bagi menghadiri aktiviti ko-kurikulum.
Selepas hampir 48 jam tidak dapat dihubingi, ibu bapa So’rich membuat laporan polis.
Bagaimanapun, mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak polis.
Ibu bapa kanak-kanak itu meneruskan ikhtiar, mencari sendiri anak mereka dengan harapan So’rich pulang ke pangkuan keluarga.
“Saya sendiri mencari dari pagi saya keluar cari anak saya. Merata tempat saya pergi, taman, surau, semua tempat, “
“Saya edar gambar anak saya, di KLCC, masjid tapi masih tak jumpa,” rintih Zainun.
Bercerita lanjut, Zainun berkata, malam sebelum kehilangan So'rich, dia ada menegur anak lelakinya itu kerana pulang lewat.
“Malam tu saya cakap, buat macam ni, buat mama susah, tak bagitau, bukan saya pukul ke, sebab dia dah besarkan,” jelas Zainun lagi.
Dia turut memberitahu, So'rich juga tiada masalah di sekolah.
Sehingga kini, keluarganya bingung, ke mana hilangnya Muhammad So'rich.
Maklumat terkini yang diperoleh, So'rich dilaporkan bersama seorang lelaki dalam lingkungan 30-an./
“Saya nak minta dia balik semula , mama tak marah. Mama sayang So’rich,”
"Yang bawa dia tu tolonglah pulangkan anak saya balik, saya mohon itu saja. Saya tidak akan buat apa-apa tindakan pun kalau awak pulangkan anak saya balik,” rayu Zainun mengakhiri perbualan.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment