Tuesday, 1 April 2014

Hakim Amerika tolak permohonan dapatkan bukti dari Boeing dan MAS


KUALA LUMPUR: Hakim mahkamah Illinois telah menolak permohonan firma guaman Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bukti reka bentuk dan kecacatan pembuatan berkemungkinan daripada Boeing Co dan Malaysia Airlines (MAS) berhubung kehilangan pesawat MH370 tiga minggu lalu, lapor Reuters.

Menurut laporan Reuters, hakim tersebut dari daerah Cook, Kathy Flanagan turut mengancam mengenakan sekatan terhadap Ribbeck Law Chartered.

"Meskipun dengan arahan ini, firma guaman telah sekali lagi memfailkan petisyen walaupun mengetahui mereka tidak mempunyai asas untuk melakukannya," kata Flanagan pada Isnin.

Tegas beliau, jika firma guaman tersebut memilih untuk meneruskannya, mahkamah akan mengenakan sekatan kepada permohonan mereka.

Ribbeck Law pada minggu lalu memfailkan tindakan undang-undang pertama di Mahkamah Illinois berhubung kehilangan pesawat MAS Boeing 777-200 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum hilang pada 8 Mac lalu.

Beberapa peguam penerbangan Amerika Syarikat serta pakar menyifatkan pemfailan Ribbeck sebagai sebuah 'aksi publisiti', kerana butir-butir kehilangan pesawat sebahagian besarnya masih tidak diketahui.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment